Proton lancarkan model Suprima S

KUALA LUMPUR: Proton Suprima S, model terbaru hatchback yang diperkenalkan Proton Holdings Bhd hari ini ditawarkan pada harga RM76,338 bagi varian eksekutif dan RM79,988 (premium).

Pelancaran dilakukan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, di Jalan Duta, sebentar tadi.

Persepsi kononnya Proton mengeluarkan kereta yang tidak bermutu diharap dapat dikikis dengan pelancaran model terbaharu Proton – Suprima S.

Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pengeluar kereta tempatan itu menghasilkan kereta yang menepati piawaian antarabangsa dan harus dibanggakan.

“Saya harap pendapat bahawa Proton ialah pengeluar kereta murah berkualiti rendah dapat dihapuskan kerana Proton mengeluarkan kereta yang sama taraf dengan pengeluar kereta terkenal,” katanya

Turut hadir pada majlis itu ialah isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali; Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar; dan Ketua Eksekutif Matrade, Datuk Dr Wong Lai Sum.

Proton Suprima S adalah kereta pertama keluaran syarikat itu yang bercirikan ‘hatchback’ serta dilengkapi ciri-ciri keselamatan tahap tinggi seperti enam beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS) serta kawalan kestabilan elektronik.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, Proton Suprima S mampu menarik minat khususnya golongan muda yang dilihat lebih menggemari kereta berbentuk hatchback yang lebih ‘sporty’ berbanding sedan.

Pada majlis itu, Syed Hamid turut diumumkan sebagai pembeli pertama Proton Suprima S.

Harga mengikut model seperti berikut:

Proton Suprima S 1.6 Executive (metallic) RM76,688
Proton Suprima S 1.6 Executive (solid) RM76,338
Proton Suprima S 1.6 Premium (metallic) RM79,988
Proton Suprima S 1.6 Premium (solid) RM79,638