Pilih kelab taraf dunia: Khairy

Seremban: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan saranannya supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengutamakan kedudukan ranking dengan memperbanyakkan perlawanan persahabatan kelas A bukan bermakna skuad negara dihalang menentang pasukan kelab.

Sebaliknya, Khairy menegaskan pasukan kebangsaan boleh mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan berstatus kelab tetapi perlu pastikan ia membabitkan kelab terbaik dunia kerana ia diakui juga dapat membantu meningkatkan prestasi pasukan.

Menurutnya, beliau memang mahu FAM memberi keutamaan kepada perlawanan persahabatan menentang pasukan negara lain sebab ia menjadi penanda aras sebenar kekuatan pasukan kebangsaan selain boleh membantu dari segi kedudukan ranking dunia.

Jadual tak betul

Tetapi kalau buat keputusan langsung tak boleh main dengan kelab, ini kena buat penjelasan sikit sebab kita juga harus bagi peluang kepada pasukan kebangsaan bermain dengan kelab tetapi perlu memilih kelab yang berkualiti tinggi, bukan berstatus amatur.

Bagaimanapun mengikut jadual FAM tahun ini, saya bersetuju memang jadual ini tidak betul kerana hanya bermain dengan kelab lebih-lebih lagi dengan kelab yang berkualiti rendah, katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Pergerakan Pemuda UMNO dan Media Negeri Sembilan, malam kelmarin.

Sebelum ini, Khairy menyelar sikap pegawai dan ketua jurulatih bola sepak kebangsaan yang berterusan menganggap kedudukan pasukan negara dalam ranking dunia tidak penting sedangkan ia adalah penanda aras terhadap kekuatan dan reputasi pasukan negara.