Pertahanan Kelantan disebut positif doping

KUALA LUMPUR – Seorang pemain pertahanan Kelantan disebut-sebut sebagai antara pemain yang disyaki gagal ujian doping selepas perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.

Mengikut sumber, pemain itu tidak lagi menghadiri latihan bersama skuad Kelantan sejak sebulan lalu iaitu pada Ramadan ekoran digantung oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kerana gagal melepasi ujian doping berkenaan.

“Pemain itu sudah lama tidak mengikuti latihan bersama pasukan Kelantan iaitu sejak selepas perlawanan akhir Piala FA lalu ekoran gagal ujian doping.

“Pemain itu dan Indra Putra Mahayuddin merupakan dua pemain Kelantan yang dipilih menjalani ujian rawak untuk menjalani ujian doping selepas perlawanan tersebut, namun hanya pemain itu yang gagal dalam ujian pertama.

“Jadi Kelantan terpaksa mengambil langkah sedemikian sementara menunggu kata putus hukuman yang dijatuhkan oleh FAM, ” kata sumber terbabit yang enggan namanya didedahkan.

Kelmarin, FAM menerusi Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak menegaskan, pihaknya masih menunggu surat maklum balas daripada persatuan bola sepak negeri pemain berkenaan dan menangguhkan dahulu bentuk hukuman kerana mahu memberikan peluang kepada pemain tersebut memberikan keterangan pada mesyuarat yang akan ditetapkan nanti.

Jika gagal melepasi ujian doping kedua, pemain berkenaan boleh digantung seumur hidup.

Pemain tersebut menyertai Kelantan pada 2009 dan berasal dari negeri tersebut.

Pada perlawanan akhir Piala FA yang dimenangi Kelantan, pemain tersebut tidak beraksi sebaliknya hanya menghuni bangku simpanan. – utusan