Penyokong mengamuk, Irfan letak jawatan

Jurulatih Selangor Haji Irfan Bakti Abu Salim dilaporkan telah meletak jawatan ekoran prestasi buruk Selangor dalam kempen Piala Malaysia 2013.

Beliau dilaporkan telah menghantar surat perletakan jawatannya pagi tadi.

Facebook beliau pada hari ini hanya tertulis perkataan ‘Resigned’ menguatkan lagi kesahihan berita ini.

Terbaru The Red Giants dimalukan oleh pasukan berstatus kelab Sime Darby 0-3 dalam perlawanan ketiga kumpulan  di Stadium Selayang malam tadi.

Beliau jelas kecewa dengan aksi pemainnya yang gagal bermain dengan baik dalam perlawanan tersebut tetapi berkata pasukannya mampu bangkit memburu slot suku akhir.

Beliau juga berkata kekalahan itu merupakan satu kekalahan yang terburuk sepanjang beliau bergelar jurulatih dan amat kecewa dengan keputusan perlawanan tersebut.

Selangor ketika ini berada di kedudukan tercorot dengan 1 mata dalam kumpulan A Piala Malaysia.

Dalam pada itu satu kekecohan telah berlaku sejurus tamat perlawanan Sime Darby dengan Selangor apabila lebih 500 penyokong Selangor bertindak mengepung bas yang membawa pemain dan pegawai pasukan. Namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku selepas anggota keselamatan meminta kumpulan penyokong berkenaan bersurai.