Pemain Kedah lawat Stadium Cardiff jika juara

ALOR SETAR – Ganjaran istimewa iaitu berpeluang menjejakkan kaki ke Stadium Cardiff City menanti pemain skuad bola sepak Kedah jika mereka berjaya menjuarai Piala Malaysia yang bermula Selasa ini.

Tawaran tersebut dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Mukhriz Mahathir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan kelab Wales itu di Alor Setar malam semalam.

Mukhriz berkata, tawaran itu adalah wajar sebagai penghargaan kepada pemain dan pengurusan pasukan.

“Menerusi kerja keras pemain, strategi jurulatih, semangat berpasukan dan sokongan padu peminat misi itu tidak mustahil untuk dicapai.

“Menang Piala Malaysia adalah wajar untuk melawat Cardiff City. Jangan fikir susah atau mustahil, namun saya akui ia tidak mudah (muncul juara).

“Namun dengan usaha kuat pemain dan strategi mantap selain sokongan peminat saya yakin dan percaya juara boleh dikecapi dan tidak mustahil lebih baik pada musim akan datang,” katanya.

Pada majlis tersebut, KFA diwakili Setiausaha Kehormatnya, Aminuddin Omar manakala Cardiff City diwakili Pengarahnya, Datuk Lye Ek Seang.

Majlis turut dihadiri pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan.

Menurut Mukhriz, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kecemerlangan bola sepak Kedah pada tahap yang membanggakan.

“Saya akan menjadikannya keutamaan nombor 1, namun berharap tumpuan itu dapat dibalas dan dibantu dengan kerjasama mantap semua pihak,” ujarnya.

Cardiff City yang berada di ambang muflis pada 2010 dibeli oleh Vincent menerusi syarikatnya Kumpulan Berjaya.

Kelab Wales itu kurang dikenali pada awalnya kerana hanya beraksi dalam Liga Kejuaraan (Divisyen Dua England), tetapi langkah Vincent memaparkan nama Malaysia di jersi pasukan telah menarik perhatian rakyat negara ini.

Di bawah bimbingan pengurus berwibawa, Malky Mackay dan sokongan padu Vincent, Cardiff berjaya mengukuhkan kedudukan sedikit demi sedikit.

Selepas tiga musim gagal melayakkan diri ke Liga Perdana setelah kalah dalam playoff, kali ini, mereka layak dengan penuh bergaya mengungguli Liga Kejuaraan.

Musim baharu ini, Cardiff akan beraksi di pentas besar Liga Perdana Inggeris dan Vincent memutuskan perkataan Malaysia akan dikekalkan di jersi kelab Wales itu.