Pemain kebangsaan kembali bantu Johor DT hadapi Perth Glory

Johor Bahru: Kelibat pemain kebangsaan kembali memperkuatkan Johor Darul Takzim (DT) apabila skuad itu melayani kunjungan pasukan Liga A Australia, Perth Glory FC pada aksi persahabatan di Stadium Larkin, malam ini.

Jurulatih Azmi Mohamed mengesahkan Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abd Radzak akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang skuad bimbingan bekas pemain import Johor era 90-an, Alistair Edwards.

Azmi berkata, perlawanan itu penting dan akan dijadikan medan terakhir persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia, 20 Ogos ini dan turut mengesahkan akan menurunkan barisan pemain terbaik untuk menentang pasukan dari Australia itu.

“Semua pemain kebangsaan melapor diri esok (hari ini) dan saya yakin mereka tidak ada masalah untuk diturunkan selepas menimba pengalaman berguna apabila beraksi menentang FC Barcelona, baru-baru ini dan saya mahukan aksi terbaik daripada mereka.

“Saya juga lega Mohd Nazri Ahmad dan Andre Francisco Da Silva pulih daripada kecederaan dan hanya Muslim Ahmad dan Kamarul Afiq Kamaruddin terpaksa diketepikan pada aksi persahabatan itu kerana masih dibelenggu kecederaan,” katanya.

Azmi bagimanapun tidak dapat membuat pengesahan sama ada bekas bintang Argentina, Pablo Aimar akan diturunkan pada perlawanan itu dan menyerahkannya kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk membuat keputusan.

Katanya, buat masa ini tidak ada kata putus sama ada bekas pemain Benfica di Liga Portugal akan diturunkan.

“Saya fokus membuat persiapan menghadapi saingan Kumpulan B kerana sasaran kita adalah memburu gelaran pertama dan saya yakin aksi menentang Perth Glory FC penting bagi memantapkan pasukan.” Selain Aimar yang dijangka membuat penampilan pada aksi persahabatan itu, pengurus dan ketua jurulatih baru Cesar Ferrando Giminez akan turun menyaksikan perlawanan itu.

Saksikan perlawanan ini secara langsung di sini.