Pemain Ancam tinggalkan BAM?

KUALA LUMPUR – Selepas pasukan negara pulang bersama keputusan mengecewakan pada Kejohanan Dunia di Guangzhou baru-baru ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bercadang untuk ‘mencantas’ senarai skuad yang beraksi pada Terbuka Jepun bulan depan dengan hanya menyenaraikan dua wakil iaitu pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kerana kedua-duanya merupakan penyandang juara.

Namun, difahamkan ada jurulatih yang tetap berkeras mahu pemain mereka dihantar ke kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM640,000) itu kerana khuatir pemain tersebut bakal bertindak meninggalkan pasukan kebangsaan seandainya digugurkan daripada senarai asal yang telah didaftarkan BAM.

Mengikut senarai awal yang telah didaftarkan BAM, Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong akan mengetuai pasukan, selain Peng Soon-Liu Ying, Liew Daren, Chong Wei Feng, Lim Khim Wah-Goh V Shem, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Begitupun selepas tamat Kejohanan Dunia, 5-11 Ogos lalu ada beberapa nama yang tidak ‘dikehendaki’ BAM untuk berada di Tokyo, termasuk pasangan No. 2 dunia, Kien Keat-Boon Heong yang gagal menepati sasaran untuk melayakkan diri sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir.

Keputusan pengurusan BAM itu walaupun tampak wajar, tetapi tidak dipersetujui oleh jurulatih yang mendakwa, tindakan tersebut hanya akan menyebabkan beberapa pemain yang tidak gembira tetap beraksi pada Terbuka Jepun atas tiket profesional atau meninggalkan terus pasukan kebangsaan.

Seandainya benar senario ugut mengugut ini berlaku, perkara tersebut sama sekali tidak boleh diterima kerana pemain yang gagal menunjukkan permainan baik pada Kejohanan Dunia sepatutnya bersedia dengan sebarang bentuk hukuman, termasuk dibekukan daripada pertandingan tertentu dan menjadikan hukuman tersebut sebagai motivasi untuk bangkit.

Sudah tiba masanya BAM bertindak lebih tegas dan tidak melayani kerenah pemain-pemain yang hanya banyak menimbulkan masalah, sedangkan prestasi mereka sudah semakin ‘suam’.

Tumpuan seharusnya diberikan kepada pemain muda yang mula menunjukkan peningkatan dan mempunyai masa depan cerah, apatah lagi kita bakal berdepan cabaran getir Sukan Olimpik 2016 di Rio yang hanya tinggal tiga tahun untuk berlangsung.

Sikap pemain seperti ini memang mengecewakan, tetapi apa yang lebih mengejutkan adalah ada juga jurulatih yang sanggup mempertahankan mereka sedangkan jurulatih ini sepatutnya bertindak merangka strategi bagaimana hendak mengetengahkan pemain-pemain pelapis yang berpotensi selepas melihat pemain senior sedia ada tidak mampu mencapai tahap dikehendaki.

Barangkali, isu seperti ini antara yang harus segera ditangani oleh Presiden baharu BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang dijangka tampil bersama beberapa rancangan serta idea baharu apabila mempengerusikan mesyuarat majlis badan badminton kebangsaan itu buat kali pertama pada 7 September ini.

Mahaleel, yang baharu mengambil alih tampuk kepimpinan BAM daripada Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh, bulan lalu sedar tentang semua yang berlaku dalam pasukan kebangsaan ketika ini selepas meminta orang kepercayaan, Tan Aik Mong mengadakan pertemuan dengan barisan jurulatih negara baru-baru ini.

Terus memberi muka kepada pemain bermasalah tidak akan membawa BAM ke mana-mana kerana ketika ini pun, kedudukan badminton Malaysia hanya gah di mata dunia kerana adanya Chong Wei, satu-satunya pemain yang berjaya melangkah ke final Kejohanan Dunia tetapi menarik diri akibat kecederaan.

Andai pemain-pemain ini bertindak meninggalkan pasukan kebangsaan, terpulang kepada BAM sama ada mahu melepaskan mereka dengan syarat atau tanpa syarat, tetapi yang pasti badan badminton itu tidak boleh sekali-kali tunduk kepada ugutan atau desakan pemain yang tidak kena pada tempatnya.

Mereka boleh mendengar pandangan pemain mahupun jurulatih, tetapi bukan memanjakan mereka kerana tindakan seperti itu hanya akan menutup peluang kepada pemain lain yang berpotensi. – Utusan