Pahang ikat Kelantan, PKNS kejutkan JDT

PAHANG berjaya mengikat juara bertahan, Kelantan dengan keputusan seri 1-1 pada saingan pembuka tirai Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Pada awal babak permainan, kedua-dua pasukan dilihat berusaha mengasak ke arah kubu lawan bagi mencari gol awal.

Pada minit kelapan, Kelantan memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan kapten, Mohd. Badhri Radzi.

Percubaan terbaik skuad Tok Gajah muncul pada minit ke-17 apabila Matias Ruben Conti berjaya menanduk bola ke gawang lawan selepas menerima hantaran lintang Mohd. Saiful Nizam, namun ia sedikit tinggi melewati palang.

Pada minit ke-36, penyerang berbisa Kelantan, Indra Putra Mahayuddin pula berjaya melepasi benteng pertahanan Pahang tetapi rembatannya melepasi tiang gol.

Empat minit sebelum babak pertama berakhir, pemain tengah Pahang, Mohd Amirulhadi Yahya pula merembat dari luar kotak penalti, namun percubaannya itu sedikit tersasar.

Bersambung babak kedua, Pahang dan Kelantan bermula garang untuk mencipta jaringan.

Namun, rentak Kelantan sedikit terencat apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Fakri Sharani dikenakan kad merah setelah dia mengasari Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-64.

Pada minit ke-80, suasana perlawanan makin panas. Kini, giliran Pahang pula tempang apabila R. Surendran menerima kad merah kerana mengasari tonggak pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin.

Pada minit ke-85, pemain import Pahang, Damion Delano Stewart akhirnya berjaya memecah kebuntuan untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan kencang bagi menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu status pasukan pilihan seakan-akan tidak memberi sebarang makna buat Johor Darul Takzim (DT) apabila pasukan berbelanja mewah itu tersungkur di tangan PKNS FC, 0-2 pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Dua gol pemain import dari Liberia Patrick Ronaldinho Wleh (tiga dari kiri) pada setiap babak sudah cukup untuk memberikan PKNS FC tiga mata berharga di laman sendiri ketika mereka pada mulanya tidak banyak diberikan harapan untuk mencipta kejutan ke atas skuad Harimau Selatan yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol Muhammad Al-Hafiz Hamzah dilayangkan kad merah pada minit ke-62 kerana menampan bola di luar kotak penalti.

Johor DT yang dikendalikan Azmi Mohamed bagi menggantikan Fandi Ahmad selepas tamat kempen Liga Super bermula baik apabila mengasak kubu pasukan tuan rumah menerusi percubaan Andrezinho yang ditepis keluar Mohd Remezey Che Ros pada minit ke-5.

Namun penguasaan Johor DT tidak bertahan lama apabila PKNS FC mula mendapat rentak dan berjaya mendahului permainan menerusi rembatan Ronaldinho selepas memperdayakan dua pemain pertahanan lawan dalam kotak penalti pada minit ke-16.

Pasukan pelawat memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-33 namun Remezey tangkas menafikan sepakan percuma pemain import dari Argentina Leonel Nunez.

Bersambung babak kedua, Ronaldinho sekali lagi menjadi duri dalam daging Johor DT apabila bijak menyempurnakan hantaran pemain perancang Muhamad Nazmi Faiz Mansor untuk menewaskan Muhamad Al-Hafiz bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-57.

Johor DT bertambah derita apabila Muhamad Al-Hafiz diarahkan meninggalkan padang oleh pengadil Samsudin Ibrahim kerana menampan bola di luar kotak penalti ketika cuba menghalang pergerakan Ronaldinho pada minit ke-62.

Biarpun bangkit mengasak di penghujung permainan namun Johor DT tidak mampu menafikan kemenangan pertama anak buah Abdul Rahman Ibrahim untuk memimpin saingan dalam Kumpulan B.

Highlights

Pahang v Kelantan

PKNS v JDT