Oman markas akhir Harimau Muda

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Ong Kim Swee bercadang menjadikan Oman sebagai markas persiapan terakhir mereka sebelum memulakan kempen mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar Disember ini.

Beliau mahu anak buahnya terus didedahkan dengan perlawanan kompetitif selepas berakhirnya kejohanan Pestabola Merdeka pada pertengahan bulan depan.

“Kami memerlukan perlawanan kompetitif bagi mengekalkan momentum serta memantapkan lagi permainan sebelum beraksi di Sukan SEA Myanmar. Buat masa ini saya berusaha mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan skuad B-23 Oman dan negara berdekatan. Selain itu saya juga cuba mendapatkan perlawanan dengan pasukan kelab liga utama Qatar bagi memenuhi jadual latihan di sana,” katanya.

Mengikut perancangan awal, Kim Swee mahu membawa skuadnya menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun selepas menilai beberapa faktor termasuk dari segi kewangan, beliau menganggap Oman sebagai destinasi terbaik mereka.

“Jika semuanya berjalan lancar, skuad ini akan ke Oman pada 18 Oktober hingga 4 November. Bagaimanapun pemilihan pemain akan ditentukan kemudian kerana kemungkinan ada pemain yang masih terbabit dengan Piala Malaysia dan skuad kebangsaan,” katanya. – HMetro