Negaraku disiarkan di pawagam sebelum tayangan

PUTRAJAYA 21 Ogos – Lagu Negaraku bakal disiarkan di 723 buah pawagam di seluruh negara sebelum tanyangan bermula selama seminggu bermula 28 Ogos hingga 3 September ini.

Lebih 700 pawagam di seluruh negara akan menayangkan promo kemerdekaan dan memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan sesuatu filem sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 negara bermula 28 Ogos hingga 3 Sept ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ianya merupakan salah satu kaedah terbaik dalam memupuk semangat cintakan negara.

“Usaha ini adalah bagi memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia selain menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-56,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Beliau menjelaskan, antara pawagam yang telah menyatakan kesediaan ialah Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC), TGV Cinemas Sdn. Bhd. (TGV), Mcat Box Office Sdn. Bhd. (MBO), Cathay Cineplexes Sdn. Bhd. dan Lotus Five Star Cinema (LFS).

Katanya, tema bagi sambutan kemerdekaan ke-56 pada tahun ini Malaysiaku Berdaulat ia bagi mengingati rakyat mengenai kepentingan bersatu mempertahankan kedaulatan negara Malaysia.

“Lagu kebangsaan itu akan dimainkan sebelum tayangan filem bersama promo bertajuk Pesanan Terakhir dan Tanah Tumpahnya Darahku,” katanya.