Nahas keretapi laju, pemandu tiada alasan

Madrid: Pemandu kereta api yang terbabit dengan nahas maut di Sepanyol memberitahu mahkamah, dia tidak dapat menjelaskan mengapa dia tidak memperlahankan kelajuan sebelum kereta api itu tergelincir di selekoh berbahaya.

Francisco Garzon, 52, memandu dua kali lebih laju daripada had kelajuan sepatutnya sebelum kereta api itu tergelincir dan merempuh tembok menyebabkan 79 orang terbunuh.

“Saya tidak dapat menjelaskannya. Saya masih tidak faham mengapa saya tidak melihat. Saya tidak tahu,” katanya.

Dia tampil di depan hakim Ahad lalu di Santiago de Compostela – tempat kejadian – tetapi bukti hanya dikeluarkan kelmarin dalam video oleh akhbar ABC Sepanyol. Garzon berkata, perjalanan kereta api itu berlangsung seperti biasa sehingga ia tiba di selekoh berkenaan.

“Oh Tuhan! Ada selekohdan saya tak mungkin dapat melaluinya,” katanya.

Kereta api laju itu yang membawa 218 orang dalam lapan gerabak kemalangan bulan lalu apabila ia sampai di ibu negeri wilayah Galicia di barat laut Sepanyol.

Kereta api itu bergerak pada kelajuan 193 kilometer sejam ketika nahas berlaku – dua kali had laju dibenarkan.

Ketika ditanya apa yang terlintas di fikirannya apabila dia melalui terowong terakhir sebelum sampai di selekoh, Garzon berkata, dia tahu akan berlaku nahas dia tidak akan memikirkan apa-apa kerana beban yang perlu dipikulnya sepanjang hayat amat berat.

“Saya tidak tahu. Sejujurnya saya saya tidak tahu. Saya tidak begitu gila sehingga tidak membrek,” katanya. – Agensi