Misi hidup mati hoki negara

ATAS kertas, Malaysia dan India dilihat memiliki peluang sama rata untuk memenangi pertemuan separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam ini.

Berdasarkan rekod pertemuan terakhir, kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 2-2 ketika kempen Piala Sultan Azlan Shah di gelanggang sama Mac lalu.

Situasi ini jelas menunjukkan bahawa skuad hoki negara masih berpeluang untuk menewaskan India meskipun pasukan di ranking ke-11 dunia itu dilabel pasukan pilihan mara ke final.

Hakikat bahawa India perlu menjuarai Piala Asia 2013 untuk layak ke Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda juga dilihat menyukarkan lagi misi anak-anak buah Paul Revington menjulang trofi ini buat pertama kalinya.

Namun, kapten negara, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah tetap optimis Malaysia yang berjaya menamatkan kemarau 12 tahun beraksi di pentas Piala Dunia akan berjuang bermati-matian bagi merealisasikan misi yang diletakkan ke atas bahu mereka itu.

“Saya lihat peluang skuad negara dan India untuk menang pertemuan ini adalah 50-50, jadi sesiapa yang beraksi dengan lebih baik malam esok (hari ini) nanti sudah pasti akan muncul juara.

“Bagaimanapun, saya tetap rasa kami masih mampu menewaskan mereka, namun kami tidak boleh pandang mudah pertemuan itu nanti, sebaliknya cuba mengurangkan kesilapan seperti mana yang terjadi ketika menentang Jepun tempoh hari,” jelas Shahrun Nabil semalam.

Pemain yang beraksi buat Terengganu Hockey Team (THT) itu turut menegaskan bahawa mental pemain negara kini dalam keadaan terbaik.

Berbeza ketika kejayaan 4-2 ke atas Jepun, Shahrun Nabil menegaskan, skuad negara akan tampil lebih bertenaga malam ini serta akan cuba memperbaiki kelemahan ketara di barisan pertahanan yang dilihat melepaskan gol mudah kepada lawan dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan.

“Kami akan turun dengan lebih bertenaga kali ini dan tidak akan bermula dengan perlahan seperti menentang Jepun.

“Kami tiada masalah dalam segi jentera serangan, cuma ada beberapa perkara ketika strategi bertahan yang kami perlu perbaiki lagi.

“Apa pun, menentang India nanti kami akan cuba mendapatkan gol lebih awal dan tidak akan membiarkan gawang dibolosi dengan mudah.

“Semua pemain negara juga sudah bersedia untuk berjuang berhabis-habisan kerana kami tidak rela menghancurkan harapan besar peminat yang setia menyokong kami di sini,” ujarnya lagi. – Kosmo