Malaysia mahu jadi tuan rumah Piala Dunia

Kuala Lumpur: Malaysia akan mengemukakan kertas cadangan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada minggu ini untuk menawarkan diri menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018.

Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ia langkah pertama yang dilakukan badan induk itu dalam usaha menganjurkan kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2002.
“Perkara ini sudah dibincangkan bersama Presiden MHC (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) pada mesyuarat Ahad lalu dan beliau amat menyokong usaha ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Nur Azmi, idea untuk menganjurkan Piala Dunia 2018 sebenarnya sudah bermula ketika Kongres Persekutuan Hoki Antarabangsa ke-43 yang berlangsung awal tahun ini.

Ketika itu, Tengku Abdullah sendiri menyatakan kesediaan untuk meneliti secara mendalam perkara itu sambil tidak menolak Malaysia mungkin melakukan bidaan.

Pendirian Malaysia ketika itu disokong Presiden FIH Leandro Negre yang melabelkan Malaysia sememangnya layak untuk menjadi tuan rumah.