Mahkamah tolak permohonan gereja

PUTRAJAYA 22 Ogos – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan Malaysia berhubung isu kontroversi melibatkan penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusuf.

Dengan keputusan itu, rayuan kerajaan Malaysia dan Menteri Dalam Negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman pihak gereja, akan didengar pada 10 September depan.

Hakim Abu Samah ketika membaca keputusan tersebut menyatakan, mahkamah berpuas hati agar rayuan pihak kerajaan diteruskan kerana perkara itu bukan sesuatu yang akademik pada peringkat ini.

Pada hemat kuorum tersebut, permohonan pihak gereja merupakan satu tindakan yang drastik sedangkan rayuan itu difailkan secara betul dan mengandungi pelbagai isu serta kontroversi yang perlu didengar dan diputuskan.

‘‘Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memfailkan afidavit memperjelas bahawa isu penggunaan kalimah Allah bukanlah sebahagian daripada penyelesaian 10 perkara.

‘‘Oleh itu, ia tidak terpakai dalam kes ini. Perkara ini (rayuan) tidak boleh dianggap akademik kerana masih terdapat isu dan kontroversi yang perlu diselesaikan,’’ kata beliau.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos atas persetujuan bersama pihak gereja, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan dan Majlis Agama Islam di enam negeri.

Terdahulu, peguam Porres Royan yang mewakili Gereja Roman Katolik berhujah agar panel tersebut menggunakan bidang kuasa sedia ada di bawah Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk membatalkan rayuan itu.

Barisan peguam mewakili Kerajaan 

Peguam bela menghujahkan, rayuan tersebut kini akademik kerana Jemaah Menteri pada April 2011 telah mengeluarkan 10 butiran penyelesaian yang membenarkan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia dan bahasa pertuturan kaum pribumi digunakan oleh komuniti Kristian di Sabah dan Sarawak.

Dakwanya, Kabinet mengeluarkan 10 butiran penyelesaian itu bagi mengakhiri sekatan KDN berhubung kemasukan Injil bagi kegunaan komuniti Kristian di sana.

Menurut Porres, keputusan Jemaah Menteri itu merupakan keputusan kolektif yang dicapai bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung penggunaan Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia dan bahasa penduduk pribumi dalam Injil.

Sehubungan itu, peguam bela menghujahkan, tidak wujud sebarang kontroversi di antara pihak berkenaan yang boleh dikaitkan dengan perkara pokok dalam rayuan itu.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang berhujah bagi pihak kerajaan Malaysia dan Menteri Dalam Negeri menyatakan, rayuan tersebut bukan akademik.

Beliau menghujahkan, permohonan bagi membatalkan rayuan itu merupakan sesuatu yang remeh. Terdapat pelbagai isu komprehensif yang memerlukannya didengar dan diputuskan oleh mahkamah.

Dalam pada itu, Mubashir Mansor yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu selaku salah satu pencelah dalam rayuan itu menghujahkan, isu berhubung 10 butiran penyelesaian yang dibangkitkan pihak gereja tidak relevan pada peringkat ini.

Peguam bela menghujahkan, permohonan itu tidak munasabah atas alasan ia bersandarkan kepada fakta yang tidak boleh diterima kerana keputusan Kabinet dikeluarkan selepas dua tahun menteri membuat keputusan iaitu pada 7 Januari 2009.

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) berhujah, isu kalimah Allah tidak dipertimbangkan langsung ketika Kabinet membuat keputusannya.

Sebaliknya, keputusan tersebut berkaitan isu pergerakan keluar masuk Injil dalam negara dan sebaliknya.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam agar Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Dalam permohonan semakan kehakiman, gereja tersebut menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan menteri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan itu adalah tidak sah dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk God dalam seksyen bahasa Malaysia tetapi kerajaan berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.