Lelaki tidur di rumah Jennifer Lopez ditahan

NEW YORK – Polis menahan seorang lelaki yang menceroboh rumah agam penyanyi terkenal, Jennifer Lopez dan menetap di sebuah pondok di kediaman berkenaan selama enam hari, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Menurut polis di bandar Southampton, di sini, suspek yang berusia 49 tahun, John M. Dubis dipercayai tinggal di kediaman bernilai AS$10 juta (RM33.1 juta) antara 3 hingga 9 Ogos lalu.

Suspek yang merupakan seorang pesara jabatan bomba dilaporkan bergerak bebas di sekitar kawasan rumah tersebut.

Kehadirannya juga dilihat dan disedari oleh jiran-jiran Lopez.

Dubis turut memuat naik sejumlah gambar yang dirakam di persekitaran rumah Lopez ke akaun laman sosial Facebooknya.

Namun, pihak berkuasa berjaya memberkasnya pada 9 Ogos lalu.

Lopez, 44, membeli rumah tersebut pada tahun 2006 – Agensi