Kita tiada sasaran, hanya mahu bermain baik – Raja

KUALA LUMPUR – Dua kemenangan besar yang diraih oleh Barcelona sebelum hadir ke Kuala Lumpur mungkin menimbulkan rasa gerun buat pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang tidak berani meletakkan sebarang sasaran apabila turun menentang antara kelab terbaik dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Sama ada mahu mengurangkan jumlah defisit kemenangan atau meraih sekurang-kurangnya beberapa jaringan, perkara itu tiada dalam kotak fikiran Rajagobal yang sekadar mahu melihat anak-anak buahnya menampilkan permainan lebih positif daripada apa yang mereka pamerkan semasa di Jepun, bulan lalu.

Dalam masa sama, dia memberi bayangan yang pasukan Malaysia akan turun dengan corak bertahan dengan memberi jaminan satu penyerang sahaja akan digunakan dan tidak mahu memberi terlalu banyak ruang kepada Barcelona.

“Tiada siapa pemain di dunia yang mampu mengawal Lionel Messi.”

Itu jawapan ringkas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal ketika ditanya siapa antara pemainnya yang ditugaskan mengawal penyerang Barcelona dari Argentina itu pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Messi, 26, pemain terbaik dunia empat tahun berturut-turut sejak 2009 menjaringkan satu gol ketika Barcelona membelasah kelab Brazil, Santos 8-0 di Nou Camp, 2 Ogos lalu serta dua gol ketika membenam Thailand 7-1 di Bangkok, Rabu lalu.

Andai skuad Harimau Malaya dapat menghasilkan keputusan perlawanan lebih baik berbanding Santos dan Thailand, ia sudah dianggap satu pencapaian baik, namun Rajagobal enggan meletakkan apa-apa sasaran.

Lihat tanda positif

“Saya tiada apa-apa sasaran, hanya saya fikir kalau kita bermain dengan baik, kita akan dapat sesuatu dalam tempoh 90 minit. Saya tak mahu terlalu fikir mengenai Santos kena 8-0 atau Thailand kena 7-1, hanya saya nak lihat ada tak peningkatan selepas kunjungan kita ke Jepun.

“Itu yang paling penting kerana saya mahu melihat tanda-tanda positif untuk memberi keyakinan menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Bahrain (Oktober depan),” kata Rajagobal ketika ditemui selepas latihan di Stadium Nasional, petang semalam.
Apek cedera

“Rajagobal turut membayangkan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek bakal menjaga gawang, malam ini selepas Farizal Marlias beraksi 90 minit ketika tewas 4-1 kepada Chelsea, 21 Julai lalu, namun penjaga gol Kelantan itu mengalami sedikit kecederaan pangkal paha.

“Mungkin akan ada satu atau dua pertukaran dalam kesebelasan. Khairul Fahmi ada mengadu rasa sakit. Kita akan tengok perkembangannya esok (hari ini), jika tidak Farizal akan beraksi.

“Kita jangan terlalu fikirkan berapa banyak Santos dan Thailand dibolosi, apa yang penting saya mahu lihat pemain ada peningkatan atau tidak selepas pulang melalui tiga perlawanan persahabatan di Jepun.

“Jika ada, itu satu petanda baik menjelang perlawanan dengan Bahrain tidak lama lagi dalam kelayakan Piala Asia 2015.

“Saya kemungkinan akan meletakkan seorang sahaja penyerang dalam perlawanan ini nanti kerana mana-mana pasukan yang bertemu pasukan seperti Barcelona pasti mahu mengurangkan ruang kepada mereka,” katanya kepada media selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam dua perlawanan persahabatan yang dilalui Barcelona sebelum ini, juara Eropah empat kali itu membelasah juara Brazil, Santos, 8-0 pada 2 Ogos dan Rabu lalu, Thailand dijinakkan 7-1.

Situasi itu menyebabkan sudah ramai peminat berkira-kira berapakah jumlah jaringan bakal dicipta oleh Barcelona yang diramalkan akan berpesta gol ke atas Harimau Malaya di Stadium Nasional, malam ini.

Berdepan kelab Catalan, Rajagobal menjelaskan skuad kendalian Gerardo Martino itu adalah sebuah pasukan yang cukup berbeza dengan pasukan-pasukan lain di dunia dan berharap para pemain dapat mengambil peluang keemasan ini untuk mempelajari sesuatu.

“Kita lihatlah sendiri kualiti hantaran pendek, mobiliti dan kepantasan mereka jelas cukup hebat manakala tiada sesiapa pemain di dalam dunia mampu merantai Lionel Messi.

“Soal keyakinan pemain, itu semua terserah kepada mereka cuma saya berharap agar dapat memanfaatkan peluang terbaik menentang Barcelona, belum tentu mereka akan memperolehi kesempatan yang sama lagi selepas ini pada masa akan datang dan jangan rasa takut,” katanya.

Rajagobal yang telah melepaskan Amiridzwan Taj Tajudin, Nor Farhan Muhammad, Asaari Samsudin, Norazlan Razali dan Azizi Matt Rose kerana kecederaan kini belum pasti akan nasib penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sama ada boleh diturunkan atau tidak.

“Nik Shahrul telah kembali (bersama pasukan), namun Khairul Fahmi ada mengadu kecederaan di pangkal paha dan kita akan mengikuti perkembangan ini sehingga hari perlawanan sebelum membuat keputusan siapa yang akan diturunkan.

“Cuma, kelainan kali ini kita ada Wan Zack Haikal Wan Noor yang boleh diturunkan dan jika Khairul Fahmi tidak boleh, Farizal mungkin jadi pilihan di bahagian penjaga gol,” katanya.