Khairy beri tempoh sebulan

“TUBUHKAN Jawatankuasa Integriti segera jika enggan berdepan sebarang tindakan tegas termasuk dibubarkan”.

Demikian amaran Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin (gambar) terhadap kesemua persatuan bola sepak negeri (FA) bagi membanteras gejala rasuah yang dikatakan kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan.

Khairy berkata, pihaknya memberikan tempoh selama sebulan kepada kesemua FA bagi menubuhkan Jawatankuasa Integriti tersebut.

Jika tidak katanya, beliau akan merujuk perkara itu kepada Pesuruhjaya Sukan bagi menentukan bentuk hukuman yang bakal diambil terhadap mana-mana FA yang masih ‘berdegil’.

“Saya minta tubuhkan (Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri) sudah lama… sejak tiga bulan lepas.

“Persatuan negeri perlu segera menubuhkan Jawatankuasa Integriti, takkan nak harap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) semata-mata.

“Saya bagi mereka tempoh selama sebulan, jika tidak saya berhak mengambil tindakan mengikut peraturan Pesuruhjaya Sukan termasuk membubarkan persatuan,” katanya kepada pemberita ketika mengulas kenyataan Presiden Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan yang kecewa apabila skuad Hoben Jang Hoben didakwa kembali dipalit dengan gejala rasuah semalam.

Mohamad Hasan dilaporkan mendakwa, senario itu bukan sahaja membabitkan skuad Negeri Sembilan tetapi beliau percaya ia kembali berleluasa dan melibatkan seluruh industri bola sepak tanah air.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, penubuhan Jawatankuasa Integriti di peringkat FA negeri sangat penting sebagai antara langkah membanteras gejala tidak bermoral berkenaan.

“Pemain tidak tahu hendak buat laporan kepada siapa. Identiti mereka tidak dilindungi selain khuatir keselamatan diri dan keluarga terancam.

“Sebab itu ia harus ditubuhkan. Saya sendiri sering menerima aduan daripada pemain yang enggan mendedahkan identiti berhubung isu ini.

“Sekarang, saya enggan terima sebarang alasan daripada persatuan negeri. Jika mereka enggan (tubuhkan Jawatankuasa Integriti), surat amaran akan dikeluarkan sebelum dikenakan tindakan,” tegas beliau.

Pada masa sama, Khairy juga menggesa PDRM supaya menangani gejala itu dengan lebih serius.

“Tiada judi, tiada bookie. Saya percaya sindiket perjudian merupakan dalang sebenar punca wujudnya bookie.

“Saya harap PDRM dapat memberikan perhatian sewajarnya terhadap isu ini serta meningkatkan operasi kerana ia juga jenayah berat,” katanya. – Kosmo