Kami sudah bersedia – Revington


IPOH – Walaupun sudah sebelah kaki layak ke Piala Dunia di Belanda tahun depan, namun Malaysia tetap memulakan kempen Hoki Piala Asia hari ini dengan penuh bersemangat kerana membawa misi besar untuk bergelar juara buat kali pertama.

Sejak Piala Asia diperkenalkan di Karachi pada 1982, pasukan negara bukan saja tidak pernah merangkul kejuaraan, malah tidak pernah menjejakkan kaki ke perlawanan akhir. Pencapaian terbaik kita adalah menduduki tangga ketiga di Chennai, India pada 2007.

Sedar bahawa sejarah bakal terpahat seandainya kita berjaya menamatkan penantian 31 tahun, jurulatih kelahiran Afrika Selatan, Paul Revington tidak memandang mudah cabaran di Ipoh, malah menegaskan, Malaysia akan turun dengan permainan menyerang apabila menentang Taiwan hari ini.

“Bagi saya kami telah 100 peratus layak ke Piala Dunia dan hanya perlu menunggu keputusan rasmi daripada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) selepas tamat kejohanan semua benua hujung tahun ini.

“Namun, kami memandangkan serius Piala Asia kerana turun bersama misi mahu muncul juara buat kali pertama, tambahan pula kita adalah tuan rumah,” kata Revington pada sidang akhbar di sini, semalam.

Pada kempen kali ini, Malaysia diundi bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B menampilkan Korea Selatan, India, Bangladesh dan Oman.

Pada penganjuran empat tahun lepas di Kuantan, skuad kebangsaan sekadar menamatkan cabaran di tangga keempat selepas tewas kepada China menerusi penentuan pukulan penalti stroke.

Penyertaan Malaysia kali ini menjanjikan aksi lebih baik berikutan prestasi pasukan yang berada pada tahap meyakinkan selepas mendapat sentuhan Revington.

Corak gerakan pantas mirip pasukan Eropah yang diterapkan skuad kebangsaan bakal menggerunkan lawan, terutama jaguh-jaguh Asia seperti Korea Selatan, Pakistan dan India.

Keinginan pasukan untuk menjuarai Piala Asia kali ini juga nampak luar biasa, terutama selepas kehilangan mendiang Chua Boon Huat yang maut dalam kemalangan jalan raya pada awal bulan ini.

Menentang Taiwan hari ini boleh dianggap bukan masalah besar buat Malaysia kerana lawan berada pada ranking ke-50 dunia berbanding pasukan negara yang menghuni kedudukan ke-13.

Sementara itu, bintang tengah negara, Azlan Misron percaya, Malaysia bukan saja perlu menang hari ini tetapi menang dengan jaringan besar kerana ia penting untuk membantu pasukan negara menamatkan peringkat kumpulan selaku juara.

“Ini kali pertama saya bertemu Taiwan dan bagi saya mereka mungkin mempunyai kelebihan yang tidak dapat kita jangkakan.

“Walaupun kita telah layak ke Piala Dunia secara tidak rasmi, namun saya percaya menjuarai Piala Asia pasti lebih manis buat pasukan yang belum pernah meraih gelaran tersebut,” kata Azlan, yang membuat penampilan kelima Piala Asia sejak 2003.

 Revington dan pasukannya sudah bersedia

“Kami sudah cukup bersedia.” Demikian nada yakin dilontarkan pengendali skuad hoki negara Paul Revington dalam misi mencipta sejarah muncul juara Piala Asia buat kali pertama sekali gus menyambar tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

Meskipun skuad negara dikatakan sudah layak ke kejohanan berprestij itu, Revington menegaskan misi mereka di Piala Asia tidak pernah sekali pun berubah.

“Beberapa minggu lalu, kejohanan di luar segala-galanya nampak berpihak kepada kami. Tapi sekali lagi saya ingin tegaskan kami tetap meletakkan sasaran untuk muncul juara di sini dan mengesahkan tempat ke Piala Dunia.

“Sasaran ini sudah lama diterapkan dalam hati setiap pemain. Mereka tahu mereka berdepan misi untuk melakar sejarah buat Malaysia.

“Mereka sudah cukup bersedia untuk ‘berperang’ apabila turun pada perlawanan pertama esok (hari ini),” katanya. Ditanya mengenai perlawanan pertama bertemu Taiwan hari ini, pengendali dari Afrika Selatan itu tetap menghormati lawan mereka.

“Bagi saya setiap perlawanan yang dihadapi skuad negara sangat penting, begitu juga Piala Asia. Jadi kami tidak akan memandang mudah siapa pun lawan yang kami temui.

“Pemain akan turun dengan misi untuk mencatat kemenangan. Kami tidak mahu terlalu memikirkan pihak lawan, sebaliknya kami akan fokus kepada corak permainan sendiri,” katanya.