“Kami kurang bermaya kerana berpuasa”

KUALA LUMPUR – “Bukan nak beri alasan tetapi hakikatnya memang kami beraksi kurang bermaya kerana berpuasa’.

Itu pengakuan pemain pertahanan skuad kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan ketika ditanya mengenai pendedahan jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal bahawa punca kekalahan teruk Harimau Malaya menentang kelab Jepun baru-baru ini antaranya disebabkan pemain berpuasa.

Menurut Aidil, kelesuan beraksi ketika berpuasa boleh dinilai daripada keputusan dua perlawanan di mana Malaysia kalah 0-5 masing-masing kepada Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy.

“Dalam perlawanan pertama kita cuma kalah 0-2 kepada Shimizu S-Pulse kerana walaupun pemain keletihan kerana berpuasa, kami masih berada pada tahap kecergasan yang baik kerana perlawanan dilangsungkan pada waktu malam.

“Sedangkan ketika kalah teruk 0-5 dalam dua perlawanan terakhir, perlawanan masing-masing diadakan pada pukul 11 pagi dan 3 petang

“Pemain yang berpuas terpaksa mengharungi perlawanan di bawah cuaca terik. Ini menyebabkan pemain kehabisan tenaga dan cepat kehilangan air dalam badan, bukan mudah bermain dalam cuaca panas sama macam di Malaysia, ” katanya ketika dihubungi, semalam.

Aidil menegaskan, hampir semua pemain beragama Islam sememangnya berpuasa yang menyebabkan mereka tidak dapat memberikan aksi seratus peratus.

Namun Aidil mengakui standard kelab J-League jauh lebih baik berbanding pasukan negara.

“Saya faham peminat sentiasa mahu mendapatkan keputusan yang baik tetapi apa yang saya boleh perkatakan mutu pasukan J-League memang berkelas tinggi dan saya rasa kita memang ketinggalan.

“Permainan saya sendiri tidak setaraf, memang kita kena banyak belajar daripada mereka bukan sahaja daripada pemain tetapi kejurulatihan.

“Saya harap keputusan buruk yang dialami Jepun tidak mengendurkan sokongan para peminat Harimau Malaya dan jangan lupa pentas kelayakan Asia adalah matlamat utama kami dan jika tidak berjaya pada kelayakan Piala Asia, barulah layak untuk mengatakan kami gagal, ” katanya.

Pertahanan negara, Mahalli Jasuli berkata, pemain tidak berada pada tahap terbaik ketika menentang ketiga-tiga kelab Jepun berkenaan.

“Faktor berpuasa memang menjejaskan tenaga kami dan bukan perkara biasa buat kami menjalani perlawanan pada waktu siang.

“Saya bukan nak memberi alasan cuma saya harap semua pihak faham kesukaran yang dialami pemain semasa di Jepun, ” katanya.