KAFA tutup mulut, Pemain guna pil kuda, syabu

Kejadian bukan kali pertama, tonggak The Red Warriors itu pernah jalani ujian doping pada 2009 selepas final Piala Malaysia tetapi terlepas.

Bolehkah pil kuda dan syabu dikategorikan sebagai makanan kesihatan tambahan? Hakikatnya tidak dan disebabkan itu pemain pertahanan The Red Warriors (TRW) yang menjalani ujian doping selepas aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu disahkan positif dadah.

Pemain terbabit yang mendakwa kononnya hanya mengambil makanan kesihatan tambahan dan tidak menyangka ia mengandungi ‘dadah terlarang’ sebelum perlawanan itu mungkin membuat kenyataan berkenaan untuk menutup kegiatan yang sudah dilakukannya sejak sekian lama.
Positif dadah

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, apa yang dia tahu pemain pertahanan Kelantan itu terbabit dengan pil kuda dan syabu sebelum kegiatannya terdedah apabila disahkan positif dadah pada ujian doping selepas aksi final berkenaan.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil keputusan untuk ‘mengunci mulut’ daripada mengulas isu membabitkan seorang tonggak pertahanan The Red Warriors yang disyaki gagal ujian doping selepas perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menggunakan pendekatan tersebut yang merupakan sebahagian daripada peraturan bagi mengelakkan ‘subjudis’ kerana Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuat keputusan berhubung isu berkenaan.

“Apa jua perkara yang masih dalam proses perbicaraan, jika KAFA membuat kenyataan kepada media ia menjadi satu kesalahan. Kita khuatir ia akan mengganggu proses perbicaraan yang belum selesai dan bercanggah.

“Sebab itulah dalam isu doping ini kita berbuat demikian dan ia merupakan sebahagian daripada peraturan yang perlu diikuti, jadi langkah terbaik ialah dengan berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan. KAFA sangat peka kepada peraturan dan prosedur, ia telah menjadi sebahagian daripada amalan dalam pengurusan,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga kerja Mara Kelantan di sini, semalam.

Annuar memberitahu, kes tersebut menjadi lebih rumit apabila FAM mengeluarkan kenyataan awal sedangkan perbicaraan masih belum berjalan.

“Bila Pengurusi Jawatankuasa Tatatertib kata ‘saya akan membicarakan orang itu’ ia boleh menimbulkan polemik. Sepatutnya beliau tidak boleh keluarkan apa-apa kenyataan sehinggalah proses tersebut selesai, barulah tidak timbul sebarang polemik,” ujarnya lagi.

Katanya, setiap kali aksi final pemain pasukan yang beraksi dalam perlawanan tersebut akan menjalani ujian doping secara rawak.

Annuar berkata, jika positif ujian pertama, pemain berkenaan boleh melakukannya buat kali kedua di India untuk mengesahkan keputusan tersebut selari atau tidak dengan yang awal.

“Bila habis proses tersebut, barulah pergi ke Jawatankuasa Tatatertib.

“Jawatankuasa Tatatertib ada proses dia termasuklah menghukum dan keputusan ujian doping itu tidak terhenti di situ sahaja.

“Ada proses rayuan dan Jawatankuasa Tatatertib harus memberi peluang kepada pemain terbabit untuk membuat penjelasan berhubung apa yang di ambil. Jika ubat, ubat apa yang dimakan, jika dadah, jenis apa yang diambil,” jelasnya.

Dalam pada itu, Annuar mengesahkan pemain tersebut terus digantung sebaik sahaja didapati positif dan ia sama sekali tidak menjejaskan tumpuan pasukan.