Johor DT tamat kontrak Da Silva

Johor Bahru: Jodoh pemain import Johor Darul Takzim (DT), Andre Francisco Da Silva bersama skuad itu tidak panjang apabila kontraknya ditamatkan lebih awal kerana mengalami kecederaan berpanjangan.

Pengesahan itu dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada sidang media di sini, semalam.
Tunku Ismail berkata, Andre yang sinomin dengan panggilan Andrezinho bersetuju untuk menamatkan kontraknya kerana tidak dapat memberi sumbangan kepada Johor DT mengharungi kempen Piala Malaysia, musim ini.

Kempen mengecewakan

“Kecederaannya menghalang untuk dia memberi sumbangan kepada Johor DT. PBNJ dan Andre bersepakat untuk menamatkan kontraknya. Saya berterima kasih kepadanya selepas memberi sumbangan kepada Johor dan Johor DT mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga- M),” katanya.

Tunku Ismail juga mengakui kelibat Andrezinho juga tidak ada dalam perancangan ketua jurulatih baru Johor DT, Cesar Ferrando Giminez musim depan tatkala sudah mendapatkan khidmat Braulio Rodriguez, Pablo Aimar dan pemain tengah Lions XII, Hariss Harun.

Andrezinho yang dihubungi tampak sedih kerana tidak dapat membantu skuad Harimau Selatan pada saingan Piala Malaysia taktala kecederaan pangkal paha yang dialami kembali berulang sekali gus menghalang dia menamatkan saingan Kumpulan B.
“Agak sedih kerana saya tidak dapat membantu Johor DT mengharungi kempen Piala Malaysia malah paling mengecewakan apabila gagal merealisasikan impian skuad itu muncul juara Liga Super dan hanya mampu beraksi tidak sampai 20 minit ketika final Piala FA.

Hanya tinggal Nunez

“Apa pun saya berterima kasih kepada Tunku Ismail yang sentiasa membantu saya dan keluarga selain memberi dorongan untuk saya memberi persembahan terbaik kepada pasukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Andrezinho juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong Johor dan Johor DT tatkala sepanjang pembabitannya bersama kedua-dua pasukan itu sering mendapat sokongan sekali gus menjadi inspirasi kepadanya beraksi sepenuh hati.

Tanpa Andrezinho, Johor DT kini hanya bergantung kepada pemain import tunggal, Leonel Nunez yang diletakkan sandaran untuk memastikan skuad itu mara ke suku akhir piala berprestij itu tatkala berdepan T-Team malam ini. – BH