Hoki: Malaysia gagal tandingi Pakistan

IPOH – Malaysia tiada pilihan selain perlu sekurang-kurangnya seri ke atas Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A hoki Piala Asia, esok sekiranya mahu meneruskan impian memburu gelaran selepas tewas 1-4 kepada Pakistan, semalam.

Kekalahan skuad kebangsaan pada aksi kedua peringkat kumpulan itu menyebabkan Malaysia yang berada pada ranking ke-13 dunia terlepas peluang mudah untuk ke separuh akhir, Jumaat ini.

Dalam kejohanan yang menggunakan format liga satu pusingan itu, hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir untuk merebut tempat ke final.

Ketika ini hanya Jepun yang meraih kemenangan 5-1 ke atas Taiwan bakal menjadi penghalang Malaysia terus kekal di kedudukan kedua kumpulan.

Jurulatih kebangsaan, Paul Revington mengakui aksi menentang Jepun bakal menjadi perlawanan penting buat Malaysia.

“Mereka bermain dengan baik hari ini (semalam).

“Kitar harus sedar, menentang Pakistan memang amat mencabar. Corak permainan serangan balas membawa mereka meraih kemenangan,” kata Revington.

Malaysia memulakan aksi meyakinkan apabila mendahului menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim minit ke-26, namun tujuh minit selepas itu Pakistan berjaya menyamakan kedudukan hasil gol padang Muhammad Zubair dan bermula babak kedua, Pakistan mula mendominasi saingan. – Utusan