Hoki: Jepun buat Malaysia cemas

MALAYSIA mengharungi detik cemas sebelum bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Jepun 4-2 pada aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan Malaysia menempah pertemuan dengan juara Kumpulan B, India pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Jurulatih Malaysia, Paul Revington jelas sekali gembira dengan semangat juang yang dipamerkan anak-anak buahnya malam tadi, sambil menyifatkan ia sesuatu yang positif bagi pertemuan dengan India nanti.

“Kita berjaya mengekalkan fokus serta ketenangan meskipun ketinggalan dan inilah yang berjaya memberi kejayaan kepada kita dalam pertemuan ini.

“Bagi saingan separuh akhir nanti, kami sudah mempunyai perancangan untuk menewaskan India kerana sasaran yang diletakkan kepada kami ialah menjuarai gelaran Asia buat kali pertama,” jelas Revington semalam.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Azlan Shah berkata: “Semangat juang yang dipamerkan pemain negara ketika menentang Jepun sangat menakjubkan.

“Namun, kita tidak boleh beraksi sebegini lagi pada separuh akhir nanti. Kita juga tidak boleh melepaskan gol mudah sekiranya mahu menjuarai Piala Asia buat kali pertama.”

Tampil dengan misi memburu kemenangan, Malaysia seolah-olah sengaja membiarkan Jepun menjaringkan gol pendahuluan.

Jepun hanya mengambil masa lapan minit untuk membocori gawang Malaysia sebanyak dua kali.

Jepun memperoleh gol pertama pada minit keenam menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Toshiro Tachibana .

Selang dua minit, gawang Malaysia bocor lagi apabila tolakan deras Kei Kawakami gagal ditangkis oleh penjaga gol, S. Kumar.

Selepas ketinggalan dua gol, Malaysia kembali bangkit dan akhirnya, pukulan sudut penalti oleh Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-15 berjaya menewaskan penjaga gol Jepun, Akira Morishima.

Penyerang lincah, Muhammad Firhan Ashaari menyamakan kedudukan melalui tolakan deras pada minit ke-29.

Malaysia menambah dua lagi gol menerusi ayam tambatan, Faizal Saari pada minit ke-60 dan Azlan Misron (66).

Sementara itu, juara tiga kali, Pakistan muncul juara Kumpulan A setelah membelasah Taiwan 13-0.

Highlights