Hikayat King Gopal – Satu analisis

Umum sudah sedia maklum bahawa FAM telah mengambil keputusan untuk tidak perbaharui kontrak ketua jurulatih bolasepak negara, Datuk K. Rajagobal selepas berakhir Disember ini.

Tindakan ini dibuat setelah mendapat desakan dari semua pihak tidak kiralah dari peminat, tokoh sukan atau pun media sendiri.

Persoalannya adakah Rajagobal sepatutnya dipecat serta merta, atau sejak dari dulu lagi patut dipecat ataupun diberi peluang sehingga akhir tahun ini seperti yang telah diputuskan oleh FAM?

Era Rajagobal dan Harimau Malaya

Rajagobal ialah bekas penyerang negara pada tahun 1980 hingga 1983 dan memulakan kerjaya sebagai jurulatih pada 1990 bersama PKNS FC setelah menamatkan kerjaya sebagai pemain di kelab tersebut.

Rajagobal dilantik selaku jurulatih pasukan bawah 23 Malaysia pada 11 April 2009. Sembilan hari selepas dilantik sebagai jurulatih bawah 23 tahun kebangsaan iaitu 20 April 2009, Rajagopal dilantik sebagai jurulatih sementara pasukan utama kebangsaan menggantikan B. Sathianathan yang dipecat pada awal Februari.

Rajagobal memulakan tugas sebagai jurulatih sementara negara dengan membimbing Harimau Malaya menentang Manchester United pada 18 Julai 2009. Semestinya perlawanan itu menyaksikan kehebatan negara setelah tewas tipis kepada gergasi Liga Inggeris dengan keputusan 3-2.

Setelah pasukan bawah 23 tahun negara berjaya menamatkan kemarau emas sukan SEA selama 20 tahun pada 17 Disember 2009 di Laos, Presiden FAM secara rasminya melantik beliau untuk membimbing pasukan kebangsaan dan sekaligus bermulanya era King Gopal!

Juara Sukan SEA 2009 di Laos

Rajagobal sebelum ini pernah dilantik sebagai jurulatih negara pada Januari 2004 untuk persediaan negara menghadapi kelayakan Piala Dunia 2006 setelah FAM mengambil keputusan memecat Alan Harris ketika itu.

Satu Analisis

Rajagobal telah membimbing pasukan negara untuk 65 perlawanan dari Julai 2009 sehingga Julai 2013. Statistik kemajuan yang ditunjukkan ialah menang 20 kali, seri 15 kali dan kalah 30 kali.

Jumlah jaringan yang dihasilkan ialah 88 gol dan bolos sebanyak 107 gol.

RGrecedit
Senarai penuh perlawanan Harimau Malaya dibawah kendalian Rajagobal

Untuk memudahkan analisis secara terperinci dibuat, satu carta telah dilukis dengan mengambil kira mata untuk setiap keputusan perlawanan. seperti berikut;

  • Menang beza 2 gol  = +3 mata
  • Menang = +2 mata
  • Seri = +1 mata
  • Kalah beza 2 gol = -2 mata
  • Kalah = -1 mata

Hasil data yang diperolehi, carta dilukis seperti di bawah:

RGCHARTRAJA
Carta di atas akan dibahagikan kepada 6 zon iaitu zon A, B, C, D, E, F dan G.

Zon A

Zon A ialah zon permulaan buat Rajagobal. Penurunan sebanyak -4 selama 4 bulan menunjukkan Rajagobal sedang menyesuaikan diri bersama pasukan. Beliau sedang bertungkus lumus untuk menghadapi Piala AFF Suzuki Cup 2010 yang merupakan objektif utamanya ketika itu. Ketika ini beliau tidak meletakkan sebarang harapan untuk kelayakan Piala Asia 2014 dari pasukan yang diambil alih daripada B. Sathianathan ini.

Zon B

Zon B ialah era kegemilangan Rajagobal yang pertama dan terakhir buatnya. Peningkatan  sebanyak 7 mata dalam bulan Disember 2010 ini sekaligus memenangi kejuaraan berprestij bolasepak Asia Tenggara iaitu AFF Suzuki Cup 2010 membuatkan beliau menjadi sanjungan buat peminat bolasepak negara.

Kejayaan ini telah memberi satu garisan pivot atau penanda aras karier beliau iaitu garisan berkedudukan +4 (rujuk carta – garis merah tebal). Garisan ini akan menjadi support kepada prestasi Rajagobal di masa hadapan, jika garisan ini bocor atau break bermakna Rajagobal akan gagal!

Ditabal sebagai juara AFF Suzuki Cup 2010

Zon C

Zon C merupakan zon momentum buat Rajagobal. Setelah segar dengan kejuaraan, beliau semakin yakin dengan pendekatan yang dibuatnya termasuklah strategi atau pemilihan pemain.

Rajagobal begitu bernasib baik kerana mempunyai ramai pemain pelapis berbakat dari skuad emas sukan SEA yang lalu. Boleh dikatakan semua pemainnya adalah barisan muda yang boleh memberikan masa depan yang cerah buat negara.

Perlawanan persahabatan yang diaturkan memberikan keputusan yang positif buat negara. Malaysia layak ke pusingan seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia 2014 setelah menewaskan Taiwan.

Kejuaraan AFF dan perkembangan yang positif ini membuatkan Rajagobal di beri pingat Panglima Jasa Negara (P.J.N) yang membawa gelaran Datuk oleh YDP Agong pada 4 Jun 2011.

Semua sudah berkira-kira untuk layak ke peringkat kumpulan kerana Malaysia bakal bertemu Singapura untuk pusingan terakhir. Jika hendak dibandingkan dengan Singapura, semestinya pasukan Rajagobal yang baru ditabalkan sebagai jaguh Asia Tenggara ini tidak ada masalah untuk layak.

Di sinilah Rajagobal membuat kesilapan pertamanya. Mungkin kerana egonya yang mula tinggi setelah bergelar Datuk beliau tidak hiraukan pandangan orang lain. Komen-komen terhadap kesilapan yang diberikan ketika menang dengan Taiwan tidak dipedulikan. Rajagobal semestinya tidak belajar langsung dari 2 pertemuan tersebut.

Akibatnya pasukan negara dimalukan di Stadium Jalan Besar dengan jaringan gol yang besar pada 23 Julai 2011. Menurunkan pemain-pemain yang tidak berpengalaman membuatkan ramai orang mula mempersoalkan tindakannya. Pemain-pemain yang menyinar pada Piala AFF yang lalu tidak diberi peluang bermain. Seharusnya pada perlawanan sepenting ini, Rajagobal lebih percayakan pemain yang berpengalaman seperti Ashaari Shamsudin dan Baddrol Bakhtiar yang disimpan di bangku simpanan sehingga wisel penamat.

Tewas 5-3 kepada Singapura selepas ditabalkan juara jagus Asia Tenggara sesuatu yang tidak masuk akal

Namun sokongan peminat Malaysia tidak pernah lumtur sejak dari dulu. Marah-marah pun sayang jugak dengan pasukan bola negara. Hampir  90 ribu penyokong yang hadir pada perlawanan kedua di Stadium Bukit Jalil pada 28 Julai 2011 dikecewakan sekali lagi. Kita hanya mampu seri 1-1 di depan puluhan ribu penyokong sendiri. Seperti biasa, tiada ucapan maaf dari King Gopal hanyalah ucapan maaf dari pemain negara.

Luka pasukan negara semakin parah kerana pasukan negara ditewaskan dengan mudah di Australia pada 7 Oktober 2011. Jaringan 5 gol tanpa balas menunjukkan betapa teruknya tektikal negara dan keadaan minda Rajagobal ketika itu.

Ketika ini saya merasakan Rajagobal patut dipecat kerana matanya telah turun ke paras +4 mata (lihat carta) iaitu garisan penanda arasnya iaitu sama ketika dia memenangi kejuaraan AFF 2010 yang lalu. Namun garisan support ini tidak bocor atau break sekaligus memberikan kelebihan kepada Rajagobal untuk melonjak prestasinya naik semula.

Dibelasah Australia 5-0

Zon D

Zon D saya kirakan kebangkitan buat Rajagobal dari kekecewaan gagal dalam kelayakan Piala Dunia 2014. Malu bukan kepalang kerana jaguh Asia Tenggara gagal tetapi Indonesia, Thailand dan Singapura layak ke peringkat kumpulan iaitu tergolong antara 20 pasukan terbaik Asia ketika itu.

Walaupun kekecewaan demi kekecewaan yang diberi kepada peminat namun nasib menyebelahinya. Percaturan atau eksperimen baru yang dibuat berjaya melonjak kembali dari paras +4 kepada +15 mata.

Perlawanan persahabatan yang diatur memberikan kemenangan yang positif kepada negara. Pasukan negara menunjukkan peningkatan yang bagus ketika berjaya memenangi perlawanan persahabatan menentang Singapura pada 12 Jun 2012. Kita mendominasi keseluruhan perlawanan. Bagi saya inilah perlawanan terbaik tahun 2012 buat Rajagobal.

Menang ke atas Singapura 2-0 di Malaysia merupakan perlawanan terbaik Rajagobal

Kemenangan bertemu Cambodia dan Hong Kong melonjak prestasi skuad negara ke satu tahap yang tinggi melepasi garisan resistance +12 mata (garisan merah nipis). Seharusnya Rajagobal lebih bijak menggunakan garisan ini sebagai support untuk melonjakkan lagi prestasi skuad negara.

Namun Rajagobal telah membuatkan peminat gusar sekali lagi sebelum bermulanya AFF Suzuki Cup setelah kalah 2 kali kepada Vietnam dan hanya mampu seri dengan Bangladesh pada 20 November 2012 dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum bermula kejohanan itu. Rajagobal pula mengambil langkah selamat dengan memberikan objektif yang lebih penting kepada kelayakan Piala Asia 2015.

Kesilapan Aidil dan Khairul Fahmi penyebab seri bertemu Bangladesh

Zon E

Malaysia gagal dalam mempertahankan kejuaraannya. Walaupun ada yang sudah menjangkakan namun ada juga yang mengatakan peluang Malaysia ada.

Rajagobal bernasib baik kerana ketika kejohanan ini diadakan, kedudukan prestasi pasukan negara berada di atas +12 mata (garisan merah nipis). Garisan tersebut menjadi support yang baik sepanjang kejohanan ini diadakan. Tidak hairanlah prestasi negara boleh mencapai +18 mata sepanjang kejohana ini diadakan.

Kalah dengan Thailand pada separuh akhir kerana kesilapan tewas kepada Singapura sekali lagi pada peringkat kumpulan. Mengapa perlu Singapura? Entahlah.. apa gunanya menang perlawanan persahabatan jika tewas pada kejohanan besar. Mungkin Raddy Avramovic jurulatih Singapura cepat belajar dari kesilapan tidak seperti Rajagobal. Apapun yang terjadi, Rajagobal masih yakin bersama egonya.

Walaupun kerap membuat eksperimen pemain, namun akhirnya pemain yang sama juga dipilih dan tektikal yang sama juga dipilih.

Norshahrul menjaringkan gol ketika Malaysia seri bertemu Thailand di AFF Cup 2012

Percaya atau tidak, dari sudut positif kerjayanya, Rajagobal mencapai puncak prestasi ini di zon ini. Seri 1-1 dengan Thailand pada separuh akhir AFF Suzuki Cup pada 9 Disember 2012 merupakan lonjatan mata yang tertinggi iaitu pada kedudukan +18 mata (rujuk carta). Tidak hairanlah jika Thailand gagal menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan dan Malaysia memenangi perlawanan ini, nasib Rajagobal dan pasukan negara tidak mungkin seperti sekarang.

Zon F

Zon penyingkiran buat King Raja! Setelah gagal mempertahankan kejuaraan AFF Suzuki Cup, Rajagobal seperti hilang arah. Ditambah pula dengan rangking negara, beliau nampak begitu takut untuk menghadapi perlawanan kelas A yang memberi kesan pada ranking negara.

Zon ini, setiap perlawanan kelas A akan ditukar untuk menjadi perlawanan ujian atau latihan. Perlawanan menentang Arab Saudi, Palestin dan Iraq telah ditukar statusnya atas kehendak Rajagobal sendiri.

Untuk memudahkan beliau membuat eksperimen, Harimau Malaya telah membuat 8 perlawanan persahabatan dengan pasukan berstatus kelab dan hanya menang 1 dari kesemua perlawanan itu.

Kelayakan Piala Asia pula menyaksikan nasib Rajagobal diselamatkan oleh jaringan Khyril Muhymeen pada minit akhir perlawanan bertemu Yemen pada 22 Mac 2013 untuk memenangi perlawanan kedua setelah tewas pada Qatar sebelumnya.

Tandukan kemenangan keatas yemen dari Khyril menyelamatkan kerjaya Rajagobal

Jika dilihat carta di atas, kekalahan kepada Arab Saudi dan Canberra XI dilihat 2 kali menggugat garisan support +12 mata.

Akhirnya, jika garisan support diuji untuk bocor atau break beberapa kali semestinya akan bocor juga.

Momentum yang kuat iaitu kekalahan kepada Marconi Stallion dan Chelsea dan hanya mampu seri dengan Chonburi menjadi titik tolak menyebabkan garisan support (merah nipis) telah bocor atau break dan prestasi Harimau Malaya semestinya akan jatuh sehingga ke garisan +4 (garisan merah tebal) iaitu garisan di mana Rajagobal mencapainya setelah memenangi kejuaraan AFF Suzuki Cup 2010 yang lalu.

Dua kekalahan 5-0 bertemu kelab bawahan Liga Jepun merupakan kekalahan yang tidak masuk akal sama sekali. Menjunam sehingga ke paras +5 mata seakan Rajagobal sudah tidak mampu untuk berfikir lagi. Jika dahulu kalah 5-0 ditangan Australia mungkin boleh diterima namun desakan yang hebat dari segenap penjuru membuatkan FAM terpaksa mengambil keputusan tidak memperbaharui kontraknya hujung tahun ini setelah sekian lama bersabar.

Keratan akhbar mengenai kekalahn di Jepun

Adalah sia-sia sahaja jika 4 tahun lebih dihabiskan pada garisan yang sama iaitu kedudukan +4 mata!

Kesimpulan

Walaupun telah membuat keputusan FAM masih lagi memberi peluang atau memberi muka kepada individu yang telah menyelamatkan mereka dan bolasepak Malaysia antara 3 dan 4 tahun yang lalu.

Bagi saya, Rajagobal hanya layak diberi peluang membimbing pasukan negara untuk bertemu Barcelona sahaja pada 10 Ogos nanti.  Rajagobal hanya ada nyawa +1 mata sahaja lagi.

Rujuk rajah, mata Rajagobal sekarang berkedudukan +5 mata. Garisan pivot atau penanda aras kariernya ialah berkedudukan +4 iaitu Rajagobal tidak boleh hilang 2 mata jika tidak, beliau sepatutnya dipecat serta merta. Jika garisan itu support itu bocor atau break, ia akan menjadi resistance dan semestinya prestasi pasukan negara akan terus menjunam ke bawah.

Ini bermakna, pasukan negara tidak boleh tewas dengan perbezaan 2 gol ke atas!

Walau apa pun yang terjadi, semestinya Rajagobal telah melakar sejarahnya yang tersendiri iaitu jurulatih yang paling lama dalam bolasepak negara iaitu selama 4 tahun lebih.

Apakah nasib negara dalam baki 3 perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 (untuk tahun 2013) nanti?

Adakah FAM akan berubah pendirian jika Rajagobal berjaya memenangi 2 perlawanan menentang Bahrain tersebut? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Semestinya FAM akan memperjudikan keputusan 3 perlawanan itu dengan mengekalkan Rajagobal sehingga akhir tahun ini.

Seharusnya tindakan FAM ini telah membuka lembaran baru buat bolasepak negara. Kita memerlukan idea yang segar dan baru.

Pelan jangka masa pendek ialah dengan melantik jurulatih dari luar. Jika kita melihat kepada kejayaan Malaysia yang lepas, kebanyakan kejayaan negara adalah hasil sumbangan jurulatih dari luar. Kelayakan olimpik 1972 dipikul oleh Dave McLaren jurulatih dari Scotland.

Kejayaan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 1986 sehingga mengalahkan Korea Selatan di rencanakan oleh Frank Lord juga dari England. Malaysia menjuarai SEA Games 1989 dengan jurulatih Trevor Hartley juga dari England. Semestinya Karl-Heinz Weigang dari Jerman ketika Malaysia layak ke Olimpik 1980. Kemenangan ke atas Autralia pada 1992 juga direncanakan oleh jurulatih luar iaitu Ken Worden.

Terima kasih Datuk K. Rajagobal!

One Reply to “Hikayat King Gopal – Satu analisis”

Comments are closed.