Harimau Muda sedia hadapi Pestabola Merdeka

Kuantan: Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee menjelaskan tiada tekanan dihadapinya menjelang persiapan Pestabola Merdeka Ke-41 di Stadium Darulmakmur, di sini, dari 7 hingga 14 September.

Sebaliknya, Kim Swee berjanji anak buahnya akan memberikan komitmen 100 peratus bagi memastikan kejuaraan menjadi milik skuad kendaliannya dalam kejohanan paling berprestij di rantau Asia itu.

Menurutnya, rekod lalu yang turut menyaksikan skuad negara meraih gelaran juara sudah menjadi sejarah dan Pestabola Merdeka kali ini diharap berpihak kepada skuad negara.

“Saya boleh katakan bahawa setiap kejohanan yang disertai skuad bawah 23 tahun, kita akan cuba untuk menjadi juara dan ia tidak berbeza dengan Pestabola Merdeka yang juga kejohanan bola sepak bersejarah buat Malaysia.

“Oleh itu kita akan memastikan edisi kali ini sebolehnya muncul juara biarpun sedar bakal menghadapi saingan getir dari Thailand, Singapura dan Myanmar,” katanya pada sidang media di sini, semalam. HMetro