Harimau Malaya tak layak bertanding

Kuala Lumpur: Bahana tidak mementingkan ranking sejak beberapa tahun kebelakangan ini terus memberi kesan negatif kepada skuad bola sepak negara apabila gagal beraksi di Sukan Perpaduan Islam ketiga yang dijadual berlangsung di Palembang, Indonesia pada 22 September hingga 1 Oktober.

Perkara itu didedahkan Chef-de-Mission kontinjen negara Datuk Megat Zulkarnain Omar Din yang menyatakan beliau difahamkan pemilihan menyertai edisi kali ini berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan saingan hanya membabitkan 12 negara terbaik termasuk tuan rumah, Indonesia yang diwakili skuad bawah 23 tahun selain turut disertai pasukan seperti Qatar, Turki, Syria, Oman, Kuwait, Maghribi serta juara bertahan, Arab Saudi.

“Bukan tidak tidak mahu menyertai namun tidak layak. Hanya 12 negara terbaik di kalangan negara Islam boleh mengambil bahagian. Situasi sama turut menimpa bola keranjang dan bola tampar dalam dewan sekali gus menyaksikan kontinjen negara hanya menyertai 10 jenis sukan merangkumi 131 acara dipertandingkan,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat penyelarasan kontinjen negara semalam.

Ranking bola sepak negara yang kini berada di kedudukan ke-162 dunia menjadi kritikan pelbagai pihak apabila skuad kendalian Datuk K Rajagobal dilihat kurang mengadakan aksi persahabatan berstatus A dan sebaliknya lebih gemar melakukan eksperimen dengan mengadakan perlawanan menentang pasukan bertaraf kelab serta mengubah aksi berstatus A kepada perlawanan ujian.

Skuad negara menyertai edisi pertama sukan itu di Arab Saudi pada 2005 namun tersingkir di suku akhir apabila tewas 1-3 kepada Syria dengan edisi kedua temasya yang dijadual berlangsung di Iran pada 2010, dibatalkan Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF). – HMetro