Guc jadi pujaan penyokong Kedah

Alor Setar: Penyerang Kedah, Alan Guc harus kini menjadi sanjungan penyokong setia Hijau Kuning apabila dua kali muncul penyelamat pasukan dengan jaringan penyamaan dalam saingan Kumpulan D kempen Piala Malaysia.

Selepas menjaringkan gol penyamaan ketika membantu Kedah mengikat juara Liga Super Lions XII 2-2 di Stadium Jalan Besar, Selasa lalu, penyerang kelahiran Croatia itu malam kelmarin sekali lagi menjadi penyelamat ketika skuad bimbingan Datuk Ahmad Shafie mengikat Perak 1-1 di Stadium Darul Aman.

Walaupun menjadi sanjungan peminat, Guc yang berasal dari Croatia menyifatkan kejayaan Kedah memberi saingan dengan mengikat kedua-dua pasukan dari Liga Super itu hasil kerjasama rakan sepasukan.

Kepingin nikmat kemenangan

Malah, sebagai manusia biasa, dia mengakui gementar ketika mengambil sepakan penalti yang dianugerahkan pada masa kecederaan menentang Perak, apa lagi lebih 25,000 peminat yang membanjiri stadium mengharapkan dia mampu menjaringkan gol penyamaan.

“Walaupun tendangan saya ditepis penjaga gol Perak Mohd Farizal (Marlias), tetapi bola lantunan itu kembali ke kaki saya semula untuk membolehkan saya menyepak masuk untuk jaringan penyamaan.

“Saya memang teruja dan bangga kerana dapat menceriakan ribuan peminat setia Hijau Kuning. Jaringan penyamaan itu bukanlah usaha saya seorang tetapi kerja keras dan kesungguhan semua pemain untuk mencari gol penyamaan,” kata Guc.

Guc yang sudah meledak ketiga-tiga gol Kedah dalam kempen Piala Malaysia berharap mampu meledak lagi ketika menentang juara Liga Perdana, Sarawak di Stadium Darul Aman malam esok.

“Selepas seri dua kali, kami ingin merasai nikmat kemenangan pula. Kami harap dapat merasainya malam esok dengan menewaskan Sarawak,” katanya. – BH