Frenz Malaysia ‘A, B’ senasib

Kuala Lumpur: Pasukan Frenz Malaysia A mengikut jejak Frenz Malaysia B apabila tewas kepada Frenz United Indonesia 1-2 pada pusingan separuh akhir pertama Piala ASEAN Frenz, di Stadium Jalak Harupat, Bandung, semalam.

Namun, harapan untuk melangkah ke final masih terbuka apabila perlawanan separuh akhir kedua bakal diadakan di laman sendiri di Stadium Frenz, Janda Baik, 21 dan 22 Ogos ini tetapi perlu disusuli dengan kemenangan tanpa pintu gawang dibolosi.
“Untuk perlawanan timbal balik di Janda Baik nanti, saya akan cuba mencari kemenangan dan berjanji memastikan pasukan mempersembahkan aksi terbaik untuk memburu tempat ke final,” kata jurulatihnya, Mat Dinos Talib.

Benteng longgar

Pada perlawanan semalam, pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Imanes Novanrianto pada minit ke-55 sebelum Akhmal Haikal menyamakan kedudukan m-66. Awal Fajri meledak gol kemenangan Frenz Indonesia pada m-88.

“Kami bermain lebih baik pada babak kedua tetapi keghairahan memburu gol kemenangan menyebabkan kelekaan di bahagian belakang pada minit-minit terakhir,” kata Mat Dinos.