Fandi Ahmad tinggalkan JDT

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), hari ini telah mengumumkan bahawa Fandi Ahmad telah meninggalkan pasukan Johor Darul Takzim.

Baru-baru ini PBNJ membuat keputusan untuk menggantikan ketua jurulatih Darul Takzim, Fandi Ahmad dengan jurulatih baru dari Sepanyol, Cessar Ferrando Jimenez sementara Fandi dikekalkan sebagai pengurus pasukan untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Walaubagaimanapun, Fandi dikatakan kurang berpuas hati dengan keputusan itu dan telah mengirimkan surat perletakan jawatan sebagai pengurus pasukan pada minggu lepas.

Hari ini, PBNJ mengeluarkan satu kenyataan mengatakan kedua-dua pihak, Fandi dan PBNJ telah bersetuju untuk berpisah secara baik.

“Setelah membuat pertimbangan yang teliti dan persefahaman bersama, Persatuan Bolasepak Negeri Johor dan Saudara Fandi Ahmad telah bersetuju untuk mengikuti haluan masing-masing. Fandi merupakan seorang jurulatih yang cemerlang dan sentiasa berdedikasi bagi membentuk pasukan yang mantap.

Keputusan ini telah dipersetujui bersama dan bagi pihak PBNJ pula, persatuan ingin mencari pendekatan taktikal yang berbeza. Pintu sentiasa terbuka bagi Fandi di PBNJ, dan beliau sentiasa dianggap seperti keluarga di sini. PBNJ juga sentiasa bersedia memberi sokongan dalam sebarang usaha yang bakal diceburi beliau pada masa akan datang.

Ini merupakan berita yang mendukacitakan buat PBNJ dan juga para penyokong Johor, namun PBNJ mendoakan yang terbaik buat Fandi. Beliau telah banyak menabur bakti dalam pembangunan bolasepak Johor.

Jasa dan sumbangan beliau terhadap projek bolasepak Johor akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh PBNJ dan para penyokong.”