FAM terima 15 permohonan pengganti Rajagobal

Kuala Lumpur: Biarpun Malaysia hanya berada di tangga ke-162 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), masih ramai yang berminat menjadi jurulatih skuad kebangsaan terutama pengendali asing.

Ini kerana selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 1 Ogos lalu memutuskan kontrak Datuk K Rajagobal selaku jurulatih kebangsaan tidak dilanjutkan sebaik tamat pada 31 Disember ini, kira-kira 15 surat permohonan diterima badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkannya semalam berkata, pihak sekretariat FAM sehingga kini menerima 15 permohonan bagi jawatan jurulatih kebangsaan manakala bagi jawatan Pengarah Teknikal FAM, sebanyak lapan permohonan.

Kedudukan rangkin Malaysia

“Apa pun, hanya tiga atau empat sahaja calon jurulatih yang akan di bawa ke mesyuarat teknikal untuk pemilihan pada mesyuarat akan datang.

“Ini kerana calon awal ini akan ditapis dan diteliti terlebih dahulu oleh panel khas. Kita perlu mendapatkan senarai pendek calon yang benar-benar dirasakan terbaik untuk jawatan ini” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun Hamidin enggan mendedahkan nama jurulatih asing yang berminat itu untuk menghormati situasi semasa kerana Rajagobal masih lagi mempunyai tugasan penting dalam tempoh empat bulannya melatih Malaysia.
Sebelum ini bekas penyerang dan jurulatih Jerman Rudi Voller dikaitkan sebagai pengganti Rajagobal. Selain Voller bekas jurulatih Singapura, Rajodko Avramovic, jurulatih Sarawak Robert Albert dan juga jurulatih Harimau Muda Ong Kim Swee. – BH