FAM sedang mencari pengganti Rajagobal

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberitahu bahawa pihaknya kini dalam usaha pencarian mendapatkan Pengarah Teknikal dan Pengarah Pembangunan FAM yang baru bagi mengawasi beberapa skop tugas jawatan pembangunan bola sepak negara.

Ini kerana katanya, jawatan Pengarah Teknikal serta Pengarah Pembangunan penting bagi memantapkan sistem pengurusan badan induk itu terutama dari segi mutu bola sepak negara.

“Jawatan ini dibuka kepada semua yang layak sama ada dari kalangan jurulatih tempatan atau luar negara, tugas mereka ini adalah membuat koordinasi projek pembangunan yang telah diamanahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“Selain itu, mereka perlu mengawasi lagi perjalanan satu lagi unit iaitu bola sepak futsal dan pembangunan wanita, semua pemilihan berkenaan akan dijalankan dalam masa terdekat, ” katanya.

“Oleh itu, kami kini sedang mencari calon yang sesuai bagi mengisi jawatan tersebut dalam masa terdekat ini dan kalau boleh secepat kerana banyak yang perlu diperbaiki terhadap mutu bola sepak negara,” katanya semalam.

Pada masa sama, Tengku Abdullah juga berkata bagi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking dunia, FAM bercadang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan negara lain di rantau Asia bermula bulan depan.

Malah katanya, skuad Harimau Malaya selepas ini hanya akan memberi keutamaan kepada aksi kelas A menentang skuad kebangsaan berbanding kelab bagi memperbaiki ranking negara yang kini di tangga ke-159 dunia.

“Pada masa akan datang, soal ranking akan menjadi keutamaan FAM dan pasukan kebangsaan akan menjalani lebih banyak perlawanan persahabatan berkelas A dengan pasukan negara lain.

“Jadi, FAM telah menyusun beberapa perlawanan persahabatan sehingga penghujung tahun ini bermula menentang Grenada, yang berada di ranking 123 dunia (masih dalam perancangan) pada 6 September, China (ranking ke-100) pada 10 September dan pasukan ke-85 dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 9 Oktober.

“Selain perlawanan-perlawanan kelayakan Piala Asia yang penting seperti berdepan Bahrain pada 15 Oktober dan Qatar pada 19 November, skuad kebangsaan dalam perancangan menentang pasukan di tangga ke-14 dunia, Bosnia pada 10 November, ” katanya.

Tengku Abdullah juga memberi jaminan bahawa mulai tahun hadapan, pasukan kebangsaan akan lebih banyak berentap dengan pasukan-pasukan dari rantau ASEAN dari sembilan tarikh yang ditetapkan di dalam kalendar FIFA bagi mengadakan perlawanan persahabatan.

“Untuk tahun depan ada sembilan perlawanan dalam kalendar FIFA dan kita mahu menentang pasukan di ranking lebih baik, saya berharap kita boleh perbaiki ranking sekurang-kurang di atas kedudukan 130 dunia,” jelas beliau.

Berdasarkan ranking semasa yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), skuad Harimau Malaya berada di kedudukan ke-159 setanding dengan beberapa pasukan lain seperti Palestin (151), Bangladesh (152), Maldives (154) dan Chad (160).

Semestinya FAM juga sedang mencari pengganti Rajagobal!