FAM nafi spekulasi, Bekas orang kuat Liverpool berminat

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini beberapa nama seperti Robert Alberts, Radojko Avramovic dan Ong Kim Swee dikhabarkan antara calon terbaik memikul tugasan mengendalikan Harimau Malaya.

Kini timbul nama jurulatih asing terbaharu yang dilaporkan turut berminat menawarkan diri mengisi kerusi panas selaku jurulatih skuad kebangsaan sebaik sahaja kontrak Datuk K. Rajagobal tamat pada 31 Disember ini.

Individu yang dimaksudkan adalah bekas jurulatih pasukan utama Liverpool, Alex Miller, yang berusia 64 tahun dan pernah bekerjasama selama sembilan tahun bersama dua pengurus terkemuka The Reds, Gerard Houllier dan Rafael Benitez.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Miller antara beberapa jurulatih asing yang telah menghantar permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain bekas jurulatih Singapura, Radojko atau lebih dikenali Raddy.

“Miller ada memberitahu hasratnya untuk mencuba nasib menjadi jurulatih Malaysia kerana mahu mendapatkan cabaran baru dan menikmati suasana bola sepak Asia.

“Dia telah menghantar segala maklumat mengenai dirinya kepada Datuk Azzudin Ahmad (Setiausaha Agung FAM yang lama) sebelum ini dan masih menunggu jawapan FAM,” kata sumber berkenaan.

Berasal dari Glasgow, Scotland, Miller bertindak selaku Ketua Pengarah Pencarian Pemain selepas mula berkhidmat dengan The Reds pada tahun 1999 di bawah bimbingan Houllier sebelum kehadiran Benitez pada tahun 2004, dia dilantik sebagai sebagai jurulatih utama pasukan itu sehingga tahun 2008 yang turut menyaksikan The Reds memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara pada tahun 2005.

Selain itu, Miller berpengalaman luas sebagai penolong pengurus pasukan kebangsaan Scotland (1993-1999) serta pengurus bersama tiga kelab Scotland, Hibernian (1986-1996), Aberdeen (1997-1998) dan St. Mirren (1983-1986).

Selain itu, dia pernah bertindak sebagai pengurus kelab England, Coventry City yang beraksi dalam saingan Liga Perdana pada musim 1996/97 dan turut mempunyai pengalaman di Asia bersama kelab Jepun, Jef United Ichibara yang beraksi dalam J League 1 semasa kedatangannya pada 2008/09.

Dua kelab terakhir yang dikendalikannya adalah kelab Sweden, AIK Stockholm (2010) dan kelab Rusia, FC Sibir Novosibirsk (2012) manakala karier sebagai pemain, dia pernah beraksi bersama kelab Scotland, Glasgow Rangers dari tahun 1967 hingga 1982.

Walaupun namanya mungkin kurang dikenali, Miller mempunyai pengalaman bekerja di peringkat tertinggi bersama Liverpool serta antara individu bertanggungjawab menaikkan Scotland layak ke pusingan akhir Piala Dunia 1998 dan Euro 1996 yang memungkinkan dia dilihat sebagai calon berprofil tinggi membimbing Harimau Malaya.

Cuma, sedikit persoalannya adakah dia bersedia untuk memahami budaya dan corak bola sepak Asia kerana pengalamannya di sini hanyalah sekitar selama satu musim ketika di Jepun dan itu mungkin menyukarkan peluangnya berbanding Raddy atau Alberts yang telah lama berada di rantau Asia Tenggara.

Pada masa sama, terdapat beberapa sumber menjelaskan bekas pengurus dan legenda bola sepak Jerman, Rudi Voller turut mengintai menjadi jurulatih Harimau Malaya, namun Utusan gagal mendapatkan kesahihan mengenai perkara tersebut.

Voller adalah satu-satunya nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di pentas bola sepak antarabangsa kerana pernah bermain dengan beberapa kelab terkemuka dunia seperti Bayer Leverkusen, AS Roma dan Marseille serta mengendalikan Jerman dari tahun 2000 hingga 2004.

Sementara itu, Kuala Lumpur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan akan melantik bekas jurulatih Jerman, Rudi Voller (gambar) sebagai pengendali Harimau Malaya, tetapi bersedia mempertimbangkan permohonannya jika dia berminat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata FAM belum ada calon pilihan termasuk bekas pemain Jerman itu yang dikatakan berminat mengambil alih tugas Datuk K Rajagobal yang akan menamatkan kontraknya Disember depan.