Cerita mangsa bas jatuh gaung yang terselamat

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Bas yang meragut 37 nyawa di Genting Highlands semalam beberapa minit sebelum kemalangan maut itu hampir terbabit dalam satu kemalangan kecil beberapa ketika sejurus tiba di tempat kejadian sebelum terjunam ke dalam gaung.

Nor Maizatul Syazana Ahmad Sharuddin, 23, mangsa yang duduk di belakang kerusi pemandu terbabit memberitahu Utusan Malaysia, sebaik sahaja turun dari stesen bas Genting kira-kira pukul 2 petang, bas berkenaan yang berada di laluan sebelah kanan cuba masuk ke laluan kiri tetapi nyaris berselisih dengan sebuah kereta yang mahu ke tokong berhampiran di sebelah kanan jalan.

“Pemandu bas bagaimanapun sempat brek. Kalau tidak dari awal lagi terjunam ke gaung lebih dalam lagi. Kemudian berlaku pertengkaran antara mereka. Selepas itu, bas teruskan perjalanan. Tiga minit kemudian pemandu bas itu berhenti. Waktu hidupkan enjin, terdengar bunyi ‘krek’, mungkin bas ada masalah.

“Perjalanan kemudian diteruskan tetapi kali ini bas bergerak laju, habis kereta di depan dia langgar…dalam dua tiga kereta, pemandu itu nampak macam kelam-kabut cuba kawal ke kiri dan kanan. Waktu itulah penumpang yang lain menjerit-jerit ketakutan sebelum bas terhumban dalam gaung,” katanya.

Nor Maizatul, kerani di sebuah syarikat swasta di Batu Caves patah kaki dengan luka di dahi dan berdekatan mata ditemui di Hospital Sungai Buloh dekat sini.

Menurut Nor Maizatul, dia yang naik ke Genting Highlands bersama seorang rakan untuk ke Theme Park sebelum itu hairan kerana semasa di stesen lagi, bas berkenaan mengambil lebih muatan, kira-kira 10 orang lagi.

“Ada yang berdiri dan ada juga yang duduk di tangga bas,” katanya.

Keadaan mangsa di dalam bas

Nor Maizatul berkata, selepas bas terhumban dalam gaung, dia tersedar bas berkenaan berada di depannya dan dilihatnya ‘ada beberapa mangsa bertindan-tindan’.

“Saya tercampak ke luar dalam keadaan meniarap dan tidak dapat bergerak. Seingat saya, dekat saya ada seorang lelaki berasal dari Kelantan manakala rakan saya tadi tercampak ke bahagian bawah gaung lagi.

“Lelaki itu sempat menenangkan saya dan meminta menjaga diri. Lebih kurang sejam saya menunggu dan hanya ingat mati sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, seorang penumpang yang terselamat mendakwa pemandu bas itu mengabaikan keselamatan apabila masih memandu kenderaan itu walaupun mengetahui berlaku kerosakan brek.

Tan Ming Shing, 26, mendakwa, sebelum kemalangan itu, bas berkenaan memotong sebuah kereta jenis Honda dalam keadaan berbahaya menyebabkan pemandunya berang.

Menurut Ming Shing, pemandu bas dan kereta Honda terbabit masing-masing berhenti di tepi jalan dan bertengkar.

“Saya dengar pemandu kereta Honda itu bertanya kenapa memandu bas dalam keadaan berbahaya.

“Pemandu bas kemudian memaklumkan kenderaannya mengalami masalah brek dan selepas itu kedua-dua mereka meneruskan perjalanan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien meluangkan masa melawat dan bertanya keadaan kesihatan Ming Shing yang mengalami patah tangan kiri.

Ming Shing yang bekerja di bahagian dapur di Genting Highlands mendakwa, dia hairan kenapa pemandu bas itu mengambil risiko meneruskan perjalanan walaupun tahu kenderaannya mengalami masalah brek.

Sementara itu, seorang mangsa kemalangan yang terselamat merupakan rakyat Korea, dipercayai masih kritikal.

Nahas bas ekspres yang terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung di Kilometer 3.5, Genting Highlands semalam adalah kemalangan paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh 17 tahun.

Cerita penyelamat

Genting Highlands: “Sebaik saja masuk ke dalam bas, saya dengar suara mangsa meraung kesakitan dan meminta tolong. Kebanyakan daripada mereka tersepit dan ramai juga terhumban keluar.

“Cermin depan bas pecah, begitu juga cermin tingkap. Saya juga nampak beberapa mangsa seorang demi seorang terjatuh keluar melalui cermin tingkap yang pecah.”

Demikian kata Mohd Najib Mohd Kassim, 37, seorang daripada empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Genting Highlands yang paling awal tiba untuk operasi menyelamat penumpang bas yang terjunam lebih 60 meter ke dalam gaung di Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Kemalangan berlaku pada jam 2.22 petang di Kilometer 3.6 jalan berkenaan, disifatkan antara paling buruk dalam sejarah negara selepas pemandu dan 37 daripada 52 penumpang bas itu terbunuh manakala 16 lagi cedera.

Mohd Najib yang tiba di tempat kejadian tidak sampai 10 minit selepas kejadian berkata, sebagai anggota pasukan peninjau, dia dan tiga rakan sepasukan diarahkan turun ke lokasi bas yang ketika itu tersangkut pada dahan pokok bagi meninjau keadaan sebelum merancang operasi menyelamat.

Pemandu ada rekod saman

Pemandu bas yang turut maut bersama 36 penumpang selepas terlibat dalam nahas di Kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands kelmarin mempunyai 23 rekod kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia.

Selain pemandu tersebut, bas milik syarikat Genting Highlands Transport Sdn. Bhd. dengan nombor pendaftaran WGA 4136 itu sendiri mempunyai dua rekod saman atas dua penama lain yang belum dijelaskan pada 2008.

Jurucakap polis berkata, pemandu tersebut, Lim Kok Hoe, 43, berasal dari Batu Pahat, Johor mempunyai 23 rekod saman sejak 1997 hingga 2009. Tujuh daripadanya telah dijelaskan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan Kok Hoe termasuk memandu laju, menghalang lalu lintas, tidak pamer cukai jalan, berhenti di petak kuning dan tidak memakai topi keledar.

Cerita mangsa terselamat

Merangkak di atas timbunan mayat dalam keadaan menahan sakit menjadi sebahagian detik hitam yang tidak dapat dilupakan buat seorang penumpang sebuah bas henti-henti yang terselamat dalam nahas hingga mengorbankan 37 jiwa di Genting Highlands kelmarin.

Nurul Quraitul menceritakan semua pengalaman itu kepada kakaknya

Selepas terselamat dalam kejadian di Kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands itu, Nurul Quraitul Aini Md. Jali, 19, tidak dapat lagi tidur lena apabila sering diganggu oleh bayangan mangsa-mangsa yang terkorban.

Nurul Quraitul menceritakan semua pengalaman itu kepada kakaknya, Nor Ain, (gambar kecil) 21. Gadis terbabit merupakan antara 16 penumpang yang terselamat dalam nahas itu.

Menurut Nor Ain, adiknya memberitahu, kejadian pada pukul 2.24 petang itu berlaku ketika dia bersama rakannya, Saidah Misbun, 20-an, dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing setelah kontrak mereka bekerja di bankuet Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting tamat.

2 Replies to “Cerita mangsa bas jatuh gaung yang terselamat”

Comments are closed.