Cardiff City benam City

LONDON: Cardiff City melakukan kejutan besar pada pertembungan peringkat tertinggi pertama sejak 51 tahun apabila menumbangkan Manchester City 3-2, pada perlawanan Liga Perdana, awal pagi tadi.

Kembali ke barisan elit kelab Inggeris selepas memenangi gelaran musim lalu, kelab dari Wales itu garang bangkit melakukan kejutan untuk menundukkan juara liga 2012 yang membariskan pemain termahal.

Fraizer Campbell muncul penentu kemenangan apabila menyumbat dua gol dalam 11 minit terakhir untuk memberikan barisan Malky Mackay kejayaan manakala Aron Gunnarsson menyamakan kedudukan gol pembukaan City yang dijaringkan Edin Dzeko minit ke-52.

Pertembungan itu adalah perlawanan sulung Cardiff di gelanggang sendiri menentang kelab teratas Inggeris sejak 1962.

Manchester City menguasai babak pertama perlawanan tapi barisan Cardiff bekerja tanpa penat untuk mengimbangi kekuatan itu yang kemudiannya begitu berbaloi.