Cardiff City bakal jadi Cardiff Dragons?

London: Pemilik Cardiff City Tan Sri Vincent Tan semalam tidak menyembunyikan hasrat menukar nama kelab yang baru dinaikkan taraf ke Liga Perdana itu.

Vincent mencetuskan kontroversi dengan membuat keputusan menukar jersi utama Cardiff kepada merah berbanding biru tahun lalu serta memperkenalkan lambang baru berbentuk naga merah bersama “bluebird”.

Februari lalu, ahli perniagaan itu menafikan laporan beliau mungkin membuat penjenamaan semula kelab itu dengan menamakannya sebagai Cardiff Dragons.

Bagaimanapun Vincent dalam sidang media sempena majlis “Sejuta Terima Kasih” apabila Cardiff menderma £1 juta (RM5.2 juta) kepada badan amal, sekali lagi ditanya mengenai perkara itu selepas Hull membuat keputusan menukar nama kepada Hull City Tigers.

“Saya serba sedikit mengetahui mengenai pertukaran nama Hull City. Mereka kembali ke Liga Perdana dan saya mengagumi apa yang dilakukan oleh pemilik Assem Allam,” kata Vincent.

“Satu perkara yang saya suka adalah beliau menyatakan terlalu banyak pasukan menggunakan nama bandar.

“Di sini ada Hull City, Leicester City, Cardiff City, Bristol City dan semuanya dipanggil City.

“Siapa yang tidak tahu Cardiff itu sebuah bandar? Siapa yang tidak tahu Hull itu sebuah bandar? “Saya fikir strategi ini bagus tapi saya tidak mengatakan kami akan membuat perubahan yang sama.” – AFP