Barisan terbaik Kelantan gempur Pahang

PENYANDANG juara, Kelantan akan mempertaruh barisan terbaik pada pertemuan menentang Pahang dalam aksi pembukaan Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, kesemua tonggak utamanya yang sebelum ini mengalami kecederaan sudah pulih sepenuhnya dan bersiap sedia untuk diturunkan pada perlawanan tersebut.

Beliau berkata, kehadiran semula tonggak utama termasuk beberapa pemain kebangsaan membolehkannya merencanakan ramuan terbaik untuk menghadapi skuad Tok Gajah itu.

“Kelantan akan beraksi dengan kekuatan penuh pada perlawanan esok (malam ini). Kami mahu mendapatkan keputusan yang baik… dengan meraih tiga mata pada perlawanan pertama (Piala Malaysia).

“Keputusan baik amat diperlukan oleh pasukan Kelantan sebagai motivasi dalam usaha kami mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Antara tonggak The Red Warriors yang sebelum ini mengalami kecederaan ialah kapten, Mohd. Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin serta dua pemain skuad kebangsaan, Azizi Mat Rose dan Mohd. Nor Farhan Mohamad.

Selain itu, tiga lagi tonggak Kelantan yang menyarung jersi kebangsaan ialah Shakir Shaari, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim dan pengaja gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Menurut Hodak, beliau telah menemui barisan bayangan yang akan diturunkan dalam perlawanan itu nanti bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kelantan.

Bagaimanapun, pengendali berusia 43 tahun itu tetap mahu anak-anak buahnya berwaspada dengan kemampuan Pahang yang pastinya mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

“Walaupun Pahang dijangka turun tanpa penyerang utamanya, Azzamuddin (Akil) yang masih belum pulih daripada kecederaan tetapi kemampuan mereka tidak boleh diperkecilkan.

“Begitupun, kami tidak akan memberikan laluan mudah buat mereka. Impian kami ke Kuantan ialah untuk mendapatkan tiga mata.

“Jadi saya harap para pemain yang bakal beraksi dalam perlawanan ini dapat memberikan persembahan terbaik bagi memastikan tiga mata menjadi milik Kelantan,” ujarnya.

Live stream perlawanan ini di sini.