Barcelona bawa skuad terkuat bertemu Malaysia

KUALA LUMPUR – Barcelona mengotakan janji membawa skuad terbaik dalam siri jelajah Asia ke Malaysia apabila mengesahkan akan membawa semua pemain bintang termasuk Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi dan bintang Brazil, Neymar.

Perkara itu diumumkan oleh Barcelona sendiri dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Antara pemain Barcelona yang disenaraikan ke Malaysia selain Messi dan Neymar ialah Victor Valdes, Fabregas, Xavi, Iniesta, Jordi Alba, Gerard Pique, Daniel Alves Alex Song, Mascherano dan ramai lagi.

Barca, yang kini dibimbing jurulatih baharu, Tata Martino dijangka tiba di Malaysia pada 1 Syawal iaitu 8 Ogos.

Bagi penyokong yang mahu menyaksikan bintang Barcelona dari dekat, kelab itu mengadakan latihan terbuka di Stadium Nasional pada 9 Ogos pukul 7.30 malam.

Sementara itu, Barca membelasah bekas kelab Neymar, Santos 8-0 pada perlawanan pertunjukkan semalam.

Perlawanan itu merupakan sebahagian daripada perjanjian yang dipersetujui ketika Neymar berpindah dari Santos ke Barcelona Jun lalu.

Barca meraih jaringan menerusi Cesc Fabregas yang meledak dua gol. Enam lagi gol disempurnakan Lionel Messi, Alexis Sanchez, Pedro, Adriano, Jean Marie Dongou dan gol sendiri pemain Santos, Leo.

Namun, pemain yang diraikan dalam perlawanan tersebut, Neymar gagal mencatat nama sebagai penjaring cuma dia banyak membantu rakan sepasukan mendapatkan jaringan.

“Saya tidak bimbang dengan jaringan. Berada bersama kelab ini adalah sesuatu yang amat hebat, dapat bermain bersama Xavi, Cesc dan Messi

“Saya sangat gembira kerana menyarung jersi Barca. Saya harap dalam mengharungi musim yang cemerlang dan membantu kelab itu memenangi semua trofi,” kata Neymar selepas perlawanan yang disaksikan 55,000 penonton di Camp Nou, yang sebahagian besarnya adalah pelancong asing yang ternyata terhibur dengan persembahan Messi dan rakan sepaukan.

Ia merupakan perlawanan pertama Martino sebagai jurulatih Barca menggantikan Tito Vilanova yang menghidap kanser.