Bale ucap selamat tinggal kepada Spurs

LONDON – Gareth Bale mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada rakan sepasukannya di Tottenham dengan penuh emosi semalam dengan menandatangani autograf pada jersi sebelum skuad Andre Villas-Boas berlepas ke Monte Carlo untuk aksi persahabatan menentang Monaco.

Tottenham ke Monte Carlo tanpa membawa Bale, yang mengalami kecederaan kepala ketika pemain itu dikhabarkan diambang untuk menyertai Real Madrid dengan rekod perpindahan termahal di dunia.

Bale juga mungkin terlepas aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan Wales yang akan menentang Ireland pada 14 Ogos ini kerana kecederaan.

Ketika Bale berusaha untuk mengembalikan kecergasannya, pengerusi Tottenham, Daniel Levy akan bersemuka dengan Presiden Real, Florentino Perez untuk membincangkan perpindahan Bale.

Real bersungguh-sungguh untuk melihat Bale beraksi di Bernabeu menjelang aksi pembukaan mereka menentang Real Betis pada 18 Ogos ini.

Pemain berusia 24 tahun itu mungkin menjadi pemain termahal di dunia mengatasi rekod yang dipegang Cristiano Ronaldo, yang berpindah dari Manchester United ke Real dengan bayaran 94 juta euro (RM406 juta) pada 2009.

Levy dikatakan hanya menerima bidaan melepasi 105 euro (RM454 juta) untuk Bale. – AGENSI