Akhmar Haiqal gah bawa Frenz A ke final

Janda Baik: Mohd Akhmar Haiqal Azhar muncul wira Frenz A apabila meledak empat gol ketika membantu pasukan negara membaham Frenz Indonesia 5-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN FAM-Frenz B-15 di Stadium Janda Baik, malam tadi.

Skuad kendalian Mat Dinos Talib yang turun dengan ketinggalan defisit satu gol selepas kekalahan 2-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Jalak Harupat, Bandung Ahad lalu, bangkit menyamakan agregat selepas merakam kemenangan 2-1 pada tempoh permainan sebenar yang menyaksikan dua pemain dari kedua-dua pasukan dibuang padang.

Namun, dalam tempoh dua minit babak pertama masa tambahan, Mohd Akhmar memastikan laluan ke final terbuka apabila meledak gol kemenangan sekali gus melengkapkan hatriknya pada perlawanan itu.

Lawan bangkit

Ketika benteng pelawat semakin longgar, Mohd Akhmar menambah jaringan enam minit kemudian untuk melebarkan kedudukan kepada 4-1 dan 5-1 secara agregat sebelum Aidiel Nur Iman melengkap kemenangan dengan gol kelima malam tadi hasil gerakan solo minit ke-107.

Pesta gol Frenz A bermula selepas Doddy Alfayed membuka jaringan menerusi sepakan penalti minit kesembilan untuk pelawat selesa mendahului 3-1 secara agregat sebelum tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Akhmar pada minit ke-16 dan 67 sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Frenz A akan bertemu Chonburi FC pada final secara timbal balik di Chonburi, Thailand Rabu ini, diikuti aksi kemuncak di Janda Baik, Sabtu depan.

Kemenangan ini menebus kekecewaan dihadapi Frenz B yang disingkirkan Chonburi pada aksi separuh akhir. Skuad kendalian Zulkiflie Sameon akan bertemu Frenz Indonesia untuk penentuan tempat ketiga di Janda Baik pada Isnin ini dan aksi timbal balik di Bandung, Khamis depan. – BH