3 pencuri tertidur selepas pecah rumah mangsa

MUAR – Dua remaja berumur 16 tahun dan seorang kanak-kanak 12 tahun tertidur setelah memecah masuk rumah jiran mereka ketika waktu sahur di Pekan Parit Jawa di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kegiatan pencuri muda itu disedari oleh jiran pemilik rumah itu yang bertindak menghubungi anak lelaki mangsa berusia 30-an.

Katanya, anak mangsa kemudian datang ke rumah itu dan berjaya menangkap ketiga-tiga suspek kira-kira pukul 8 pagi.

“Semasa ditangkap, mereka memberi alasan hanya mahu menumpang tidur di rumah itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.