3 beradik hilang ditemui di KL

IPOH – Bapa kepada tiga orang kanak-kanak yang dilaporkan hilang, Rizauddin Md. Zain memberitahu, ketiga-tiga anaknya telah dijumpai di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau baru dimaklumkan oleh pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bahawa anak-anaknya, Sharafuddin Syazwan, 11, Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiyah, 6, ketika ini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

“Saya bersyukur mereka selamat meskipun saya tidak tahu bagaimana mereka boleh sampai ke sana,” katanya .

Sementara itu jurucakap polis berkata, ketiga-tiga mereka iaitu Syafaruddin Syazwan Rizauddin, 11; Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiah, 6, ditemui kira-kira jam 9 malam.

Mereka kemudian dibawa ke di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

“Polis masih menjalankan siasatan bagaimana mereka boleh berada di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi, di sini, tengah malam tadi.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini dipercayai hilang antara jam 2 hingga 6 petang kelmarin ketika ibu mereka keluar bekerja.

Semalam dilaporkan, seorang eksekutif swasta meminta bantuan orang ramai untuk mengesan tiga orang anaknya yang didapati hilang semasa berada di rumah bekas isterinya di Taman Meru 2B di sini kelmarin.

Rizauddin Md. Zain, 38, berkata, kehilangan Sharafuddin Syazwan, 11; Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiyah, 6, disedari ibu kanak-kanak terbabit, Safarela Azwa Ishak, 36, kira-kira pukul 6.30 petang.

Katanya, ketika kejadian, hanya pintu pagar hadapan di rumah tersebut dalam keadaan terbuka, namun tiada langsung tanda kediaman terbabit dipecah masuk.

“Kebiasaannya, Syauratul Syafiyah dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak di sini, namun semasa kejadian, anak bongsu saya itu mahu berada di rumah bersama abang-abangnya.