Yokohama malukan United

YOKOHAMA, Jepun – Manchester United menerima kejutan apabila tewas 2-3 kepada kelab Jepun, Yokohama Marinos pada aksi pramusim semalam.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan United merakamkan kekalahan kedua di bawah bimbingan pengurus baharu, David Moyes (gambar kecil).

Minggu lalu, United dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Singha All Star dari Thailand.

Pada aksi di Stadium Nissan semalam, United yang gah selaku juara 20 kali Liga Perdana England ketinggalan seawal minit pertama hasil jaringan Marquinhos.

Begitupun, United kembali bangkit menerusi jaringan Jesse Lingdgard pada minit ke-19 sebelum memperoleh gol ‘percuma’ selepas pemain Yokohama, Masakazu Tashiro menjaringkan gol sendiri pada minit ke-31.

Fabio Aguiar berjaya menyamakan kedudukan buat kelab Jepun itu pada minit ke-49 sebelum Yoshihito Fujita melengkapkan kemenangan bergaya Yokohama Marinos tiga minit sebelum perlawanan berakhir.

“Elemen kebimbangan itu sentiasa ada apabila kamu mengurus sebuah kelab hebat seperti United.

“Ia membuatkan anda sentiasa gigih bekerja, menyedarkan fokus kamu selain membantu kamu supaya tidak sesekali terjejas perhatian ketika menyaksikan pasukan bermain di atas padang.

“Sesetengah pihak mungkin meragui sekiranya sesiapa yang tidak berkaliber mengambil alih tugas membimbing United tetapi saya selesa dengan cara saya tersendiri.

“Apa yang boleh saya katakan, tugas ini sangat sesuai untuk saya dan saya berharap kami dapat memperbaiki segala kelemahan sedia ada pada masa akan datang,” kata Moyes pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan itu.

Selain merekodkan dua kekalahan daripada tiga perlawanan pramusim, United berjaya melakar kemenangan 5-1 ke atas pasukan pilihan Liga Australia di Melbourne Sabtu lalu.

Anak-anak buah Moyes dijadualkan menentang sebuah lagi kelab Jepun, Cerezo Osaka pada Jumaat ini.

Highlights