[Video] Patah tangan tertampan bola sepakan Ronaldo

LONDON 25 Julai – Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun cedera pergelangan tangan selepas secara tidak sengaja menampan bola sepakan bebas bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo dalam aksi persahabatan di sini.

Ketika kejadian peminat cilik itu, Charlie Silverwood berada di belakang gawang gol menyaksikan perlawanan persahabatan antara Real menentang Bournemouth.

Kanak-kanak itu cuba menampan bola yang meluru kencang.

“Itu adalah sepakan percuma pertama Ronaldo dalam perlawanan itu. Bola itu meluru ke arah saya dan saya menahannya dengan tangan kiri. Kelajuan Bola itu cukup menyebabkan pergelangan saya cedera.

“Ini adalah peluang seumur hidup menyaksikan Real Madrid menentang sebuah kelab tempatan di sini. Jadi saya terus menyaksikan perlawanan itu sambil menahan kesakitan. Hanya selepas perlawanan tamat baru saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Jika saya tidak menampan bola itu, sudah pasti saya akan kehilangan gigi depan,” kata Charlie kepada BBC.

Sementara itu, Real Madrid telah menghadiahkan kanak-kanak malang itu sehelai jersi pasukan yang ditandatangani Ronaldo sebagai tanda simpati.

Video kejadian