[Video] 1,000 polis buru 240 banduan

MEDAN 12 Julai – Seramai 1,000 anggota polis dan askar Indonesia dikerah sejak semalam untuk memburu kira-kira 240 banduan, termasuk pesalah keganasan, yang melarikan diri dari sebuah penjara di sini.

Dalam kejadian semalam, lima orang terbunuh apabila banduan yang ditempatkan di Penjara Tanjung Gusta di Medan, Pulau Sumatera, bertindak mencetuskan kebakaran dan rusuhan kerana tidak berpuas hati dengan keadaan penjara itu yang sesak.

Mereka yang terbunuh terdiri daripada tiga orang banduan dan dua kakitangan penjara.

Kumpulan banduan yang marah kerana bekalan elektrik dipotong dan kekurangan bekalan air, turut bertindak melempar botol ke arah pengawal penjara.

Lebih 150 banduan berjaya meloloskan diri sebaik-baik rusuhan tercetus, namun 64 daripada mereka dapat ditangkap semula oleh polis dan tentera yang bertungkus-lumus menjejak mereka sejak malam semalam.

Antara banduan yang melarikan diri terdiri daripada enam yang mempunyai kesalahan keganasan dan pernah menerima latihan militan di Aceh serta merompak bank untuk membiayai aktiviti pengganas.

Setakat awal hari ini, kumpulan banduan masih menguasai penjara berkenaan.

Sementara itu, Pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia mengesahkan empat rakyat negara itu adalah antara 2,600 banduan yang berada di penjara tersebut.

Bagaimanapun, pihak kedutaan belum menerima maklumat berhubung status keempat-empat banduan berkenaan.

Anggota polis dan tentera berkawal di luar penjara bagi menghalang banduan terus merusuh selepas kebakaran di penjara Tanjung Gusta, Medan. – Foto AF

Polis terus memantau rapi keadaan itu menggunakan kenderaan berperisai untuk berkawal di keliling bangunan penjara tersebut.

Banduan hanya membenarkan anggota tentera untuk masuk, tetapi enggan menerima kehadiran polis.

“Kami tidak suka polis kerana mereka tidak berperikemanusiaan dan sering memukul kami,” jerit seorang banduan terbabit.

Jurucakap Polis Wilayah Sumatera Utara, Heru Prakoso berkata, pegawai kerajaan akan mengadakan rundingan dengan banduan lewat petang ini bagi menyelesaikan krisis itu.

“Seramai tujuh tahanan akan mewakili banduan untuk berunding dengan seorang pegawai kerajaan dari Kementerian Keadilan dan Hak Asasi Manusia,” katanya.

Penjara Tanjung Gusta hanya mampu menampung seramai 1,054 banduan, namun lebih 2,600 ditempatkan di kemudahan itu yang terdiri daripada pesalah dan suspek yang masih dalam perbicaraan.