TPM arahkan siasatan terhadap isu pelajar disuruh makan dalam ‘tandas’

Kuala Lumpur: Bilik persalinan yang didakwa dijadikan tempat makan bagi pelajar bukan Islam di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh sebenarnya digunakan sejak Mac lalu berikutan kantin sekolah berkenaan tidak mampu menampung bilangan murid pada waktu rehat.

Difahamkan, bilik persalinan itu yang baru dibina tidak pernah digunakan dan ia hanya digunakan sebagai tempat makan sejak awal tahun ini, malah ia digunakan semua murid di sekolah berkenaan tanpa mengira agama dan bangsa.

Dalam tinjauan di sekolah berkenaan mendapati bilik persalinan yang dijadikan kantin sementara itu turut diletak dengan poster maklumat seperti ‘Basuh tangan sebelum makan’, ‘Bersihkan tempat makan selepas makan’ malah didapati bersih dan bukannya kotor seperti yang didakwa.

Guru besar sekolah berkenaan, Mohammad Nasir Mohd Noor berkata: “Saya tidak menyangka isu ini menjadi sensitif. Ia sebenarnya bukannya digunakan untuk pelajar bukan islam saja sebaliknya sudah digunakan sejak Mac lalu semua pelajar.

Pihak guru juga menggunakan bilik ini.

BILIK persalinan yang dijadikan tempat makan murid
Kenyataan seorang kakitangan sekolah di Facebook

“Bilik persalinan itu tidak pernah digunakan langsung sebaliknya hanya dibuka selepas kantin tidak dapat menampung 1,000 pelajar pada waktu makan,” katanya.

Difahamkan tiada satu pun tandas ada di dalam bilik persalinan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menyiasat isu dakwaan pelajar bukan Islam yang disuruh makan di dalam tandas.

Kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menerusi laman media sosial Twitter, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab ‘jika ada asas’.

Pengarah Pelajaran negeri Selangor, Mahmud Karim bagaimanapun menafikan bahawa tempat tersebut adalah tandas seperti yang didakwa pihak tertentu.

Jelas beliau, sebab pelajar-pelajar tersebut ditempatkan di bilik persalinan adalah kerana kantin sekolah itu sedang diubahsuai.

Menurut Mahmud, pihak sekolah telah menyediakan bilik persalinan untuk para pelajar tersebut untuk penempatan sementara bukan bertujuan mendiskriminasi para pelajar.

“Saya dah arahkan pegawai saya untuk siasat perkara itu tetapi dakwaan itu tidak benar kerana pelajar tersebut diletakkan di dalam bilik persalinan yang tidak ada langsung mangkuk tandas kerana kantin sekolah sedang dibuat pengubahsuaian dan untuk keselesaan pelajar… bilik tu bersih, bilik tu persalinan lepas pendidikan jasmani dan tidak ada mangkuk tandas,” katanya.

Katanya, pihak polis juga telah mendapati kes itu tidak ada unsur menganaiyai pelajar makan di ‘tandas’.

Tambahnya mereka diberikan kerusi meja untuk pelajar makan.

Meskipun bilik persalinan itu dikatakan ‘bersih’ oleh pengarah pelajaran Selangor, Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan pula mendapati tempat itu tidak sesuai untuk dijadikan tempat makan.

Katanya ia bukanlah perkara yang tepat untuk dilakukan kerana pihak sekolah boleh menempatkan mereka di kantin sementara untuk bulan Ramadan.

Beliau juga telah mengarahkan bilik persalinan yang dijadikan tempat makan itu ditutup serta merta dan mengarahkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) untuk menyiasat kenapa sekolah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Presinta telah bertindak sebegitu.