Tiada eksperimen lawan China – Khalid Ali


Kuala Lumpur: Peluang bertemu China harus dimanfaatkan sepenuhnya skuad kebangsaan untuk mengembalikan semula sokongan peminat yang dilihat semakin menjauhkan diri selepas sering mengadakan aksi persahabatan menentang pasukan berstatus kelab.

Hanya dua aksi persahabatan kategori A membabitkan skuad negara yang kini berada di kedudukan ke-159 dunia tahun ini dengan menentang Qatar dan Yaman yang juga sebahagian daripada aksi kelayakan peringkat kumpulan Piala Asia 2015 manakala beberapa perlawanan lain yang sepatutnya menjadi perlawanan kategori A ditukar jurulatih negara Datuk K Rajagobal yang menjadikannya sebagai perlawanan ujian.

“Saya minta Rajagobal hentikan eksperimen pada perlawanan menentang China dengan menurunkan kesebelasan terbaik. Pertemuan menentang China peluang menunjukkan Harimau Malaya masih boleh dibanggakan walaupun dengan pemain dan jurulatih yang banyak karenah. Kunjungan ke Jepun sudah mencukupi untuk dia melakukan eksperimen sepuasnya,” kata pemerhati bola sepak negara, Khalid Ali.

Katanya, kemenangan atau kekalahan pada perlawanan itu tidak penting namun tahap dan corak permainan pemain Harimau Malaya menjadi tumpuan banyak pihak yang sudah lama menantikan lawan kompetitif seperti China.

“Buktikan dia masih layak mengendalikan skuad negara. Jika tidak mampu sila letak jawatan kerana kejayaan lalu (Piala AFF dan Sukan SEA) sudah lama menjadi sejarah. Saya pernah memenangi pingat emas Sukan SEA, tiada apa yang boleh dibanggakan lagi,” kata bekas pemain negara.