Teman lelaki ibu mangsa didakwa

Selayang: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya berusia dua tahun, bulan lalu.

Mohd Hisham Mat Yunus, 42, dituduh membunuh Muhammad Umar Haiqal Mohd Hazlee di Future World Avenues Resort, Lebuh Raya Rawang, Batu 15, Taman Rimba Komamwel, di antara jam 3.30 pagi dan 4.30 pagi, 2 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan

Tertuduh yang memakai baju lokap oren hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurliana Ismail. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mohd Hisham didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil, manakala peguam Farhan Read dan Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud bertindak sebagai peguam bela.

Nik Mohamed Ikhwan berkata, teman wanita tertuduh turut direman bagi membantu siasatan kes namun dilepaskan dengan syarat, Isnin lalu.

Terdahulu dilaporkan Seorang lelaki dan ibu kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Muhammad Umar Haiqal Mohd Hazlee yang dipukul hingga mati sebelum mayat mangsa ditanam di kawasan hutan di Gunung Brinchang, Cameron Highlands direman seminggu bermula 26 Jun lepas.

Kereta Volvo 740 milik lelaki terbabit yang juga teman lelaki ibu mangsa turut dirampas polis kerana ia dipercayai digunakan untuk membawa mangsa sebelum ditanam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan tengah hari kelmarin di rumah sewanya di Bandar Country Homes, Rawang, dekat sini dan ibu mangsa berusia 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, wanita terbabit yang juga anggota polis melarikan diri daripada tugas sejak dua tahun lalu dan tinggal bersama teman lelakinya yang dikenali pada 2010.

“Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Polis percaya sepanjang kanak-kanak terbabit dijaga ibunya dan lelaki terbabit, mangsa sering didera,” katanya.