Sleeq menetap di Malaysia selepas Aidilfitri

KUMPULAN Sleeq yang berasal dari Singapura bakal menetap di Malaysia selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

“Sekarang ini, kiranya saya sudah 80 peratus di Malaysia, cuma Alyph sahaja yang berulang- alik Singapura Malaysia kerana dia masih dalam latihan khidmat negara,” ujar salah seorang anggotanya Syarif atau nama sebenarnya Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah.

Selepas Aidilfitri ini juga, Sleeq bakal mengeluarkan album mereka dan mengadakan jelajah ke universiti tempatan.

Selain itu, Sleeq bakal mula menjalani penggambaran Khamis ini bagi sebuah drama yang mengisahkan perjalanan hidup Sleeq berjudul Sleeq and Friends terbitan Excellent Pictures.

Sementara itu, Syarif turut berkongsi berita gembira bakal menamatkan zaman bujangnya, tahun depan.

Syarif telah mengikat tali pertunangan dengan peserta Singapore Idol musim ketiga, Malaque Mahdaly, hujung tahun 2011.

“Insya-ALLAH tahun depan (berkahwin). Kami sudah mengikat tali pertunangan hampir dua tahun,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Sahabat, semalam.

Menurut Syarif, Malaque merupakan gadis berasal dari Indonesia yang sudah menetap di Singapura.

Penyanyi berusia 24 tahun ini akui mengenali gadis berdarah Aceh itu melalui program Singapore Idol pada tahun 2009.

“Kami berkenalan ketika dia menyertai Singapore Idol dan Insya-ALLAH bila dah kahwin nanti, saya akan bawa isteri ke sini,” katanya.

Sementara itu, buat pertama kalinya, Syarif bakal tampil dalam drama tempatan berjudul Sahabat terbitan Suhan Movies.

Syarif akui gementar pada hari pertama penggambaran meskipun sudah hampir lima tahun menceburi bidang lakonan di  negara kelahirannya.

Sebelum membuat keputusan menerima tawaran itu, Syarif sempat meminta pendapat dari pelakon, Aaron Aziz yang juga pemilik syarikat yang menaunginya.

“Walaupun di Singapura saya sudah menceburi bidang lakonan sejak lima tahun lalu tapi saya tetap rasa gementar kerana cara bekerja produksi di Malaysia berbeza.

“Saya tanya Aaron, tak terlalu cepat ke untuk berlakon? Sebab saya nak kukuhkan diri sebagai pemuzik dulu tapi Aaron kata cuba saja. Jadi, saya pun cuba dan Alhamdulillah selepas ‘casting’ saya diterima berlakon,” katanya yang memegang watak sebagai Shaq, seorang remaja dari Singapura. [SH]