Skuad Revington tak takut jumpa Jerman

Johor Bahru: “Setiap hari kami memang menantikan peluang untuk bertemu Jerman.” Demikian nada berbeza pengendali skuad hoki negara Paul Revington (gambar) menjelang pertemuan dengan pasukan nombor satu dunia itu pada suku akhir Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia hari ini.

Ketika rata-rata pasukan cuba mengelak daripada bertemu Jerman bagi memastikan dapat melangkah lebih jauh sekali gus memburu tiket ke Piala Dunia, pengendali dari Afrika Selatan itu seolah-olah tidak kisah, malah menanti-menanti saat bertemu pasukan ranking pertama dunia itu.

Bagi Revington, jika anak buahnya dapat beraksi pada tahap terbaik seperti ketika saingan Piala Sultan Azlan Shah lalu, tidak mustahil untuk mereka menewaskan Jerman.

“Seperti kita bertemu Australia pada final Piala Sultan Azlan Shah, begitulah keadaannya ketika ini.

“Jika setiap pemain mengikut strategi yang sudah dirancang, kami juga berpeluang cerah untuk menang.

“Yang pasti, kami langsung tidak berasa gerun. Kami akan sahut cabaran ini,” katanya.

Cuma yang sedikit merisaukan Revington sekiranya ada masalah kecederaan membabitkan anak buahnya sebelum turun bertemu Jerman.

“Setiap pemain perlu berada pada tahap terbaik. Saya fikir Jerman juga amat berwaspada apabila bertemu kami.” [HMetro]