Skuad hoki Malaysia mahu juarai Piala Asia

Johor Bahru: Kegagalan meraih tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda bukan penamat untuk skuad negara memburu slot ke pentas tertinggi itu yang gagal dijejaki sejak penampilan terakhir selaku tuan rumah 2002.

Sebaliknya Piala Asia menanti skuad negara bermula 24 Ogos ini untuk memburu satu slot ditawarkan, kejohanan yang menjanjikan saingan sengit dengan kehadiran pasukan gergasi Asia lain seperti Pakistan, Korea Selatan, India dan Jepun.

Selain itu, nasib skuad negara juga bergantung kepada keputusan pada empat kejohanan antara benua lain.

Yang pasti tempat kelima Liga Hoki Dunia cukup bermakna kerana skuad negara kini boleh dilabel antara pasukan pilihan untuk mengisi baki slot ke Piala Dunia.

Atas sebab itu barisan pemain negara dilihat gembira ketika meraikan kemenangan ke atas Jepun pada penentuan tempat kelima kelmarin kerana mereka sedar peluang untuk beraksi di Belanda semakin cerah.